LIMBANG: Kajian awal yang dijalankan oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) menunjukkan terdapat potensi kewujudan sumber minyak dan gas di daratan Limbang dan Lawas.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, PETROS kini sedang melaksanakan kajian terperinci bagi mengesahkan penemuan tersebut.
“PETROS kini sedang menjalankan kajian dan terdapat potensi di daratan.
“Ada petunjuk bahawa Limbang mungkin mempunyai simpanan gas seperti di Adong, Miri,” katanya pada sidang media selepas melancarkan projek Lebuhraya Pesisir Utara (Northern Coastal Highway), di sini hari ini.
Menurut beliau, PETROS telah diberikan lesen untuk meneroka serta melaksanakan inisiatif pengkomersialan sumber minyak dan gas secara lestari di rantau ini.
“Kajian itu masih berjalan dan diharap dalam tempoh setahun hingga setahun setengah kita akan memperoleh hasilnya,” tambah beliau.
Mengenai cadangan projek petrokimia di Lawas, Abang Johari berkata, pelaksanaannya bergantung kepada ketersediaan bekalan gas hasil daripada usaha penerokaan tersebut.
“Bagi projek petrokimia di Lawas, kita perlu pastikan bekalan gas mencukupi terlebih dahulu.
“Apabila ia diperoleh, ia akan membuka jalan kepada pembangunan industri petrokimia,” katanya.
Beliau menambah beberapa cadangan pelaburan untuk projek tersebut telah diterima.
“Setakat ini sudah ada tiga cadangan termasuk satu daripada Timur Tengah yang sedang dalam kajian kebolehlaksanaan,” ujarnya.



