KUCHING: Sebanyak 50 bilik Hotel Riverside Majestic Astana Wing di sini, disediakan sebagai tempat rehat bagi menempatkan petugas-petugas Jabatan Kesihatan Negeri yang tidak dapat balik ke rumah disebabkan tuntutan kerja dan atas faktor keselamatan.
Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah, kenderaan untuk pergi dan balik juga disediakan.
“Khidmat ini adalah atas jasa baik Chong Realty Estate melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang Covid-19 oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam.
Sementara, Fatimah berkata kerajaan Sarawak melalui kementeriannya akan menyediakan makanan bermasak kepada semua petugas barisan hadapan daripada agensi-agensi terlibat.
Katanya agensi terlibat adalah Jabatan Kesihatan Negeri (termasuk Pusat Saringan dan Kuarantin), Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen Sarawak, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Gerakan Am, RELA dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Bantuan makanan bermasak ini akan diselaraskan oleh kementerian melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah,” katanya.
Selain itu, Fatimah berkata makanan bermasak akan turut disediakan kepada 75 orang pelajar Kolej Matrikulasi Sarawak yang tidak dapat balik, sebagai tambahan kepada kemudahan yang sedia ada.
Pada masa sama, katanya Kit Kesihatan juga disediakan kepada pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Ini adalah atas permintaan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berkenaan,” katanya.
Di samping itu, Fatimah berkata bantuan sokongan psikologi dan kaunseling disediakan kepada golongan masyarakat yang memerlukan seperti ahli keluarga yang terkesan akibat Covid-19, warga emas dan ibu yang mempunyai anak-anak kecil bagi menjamin kesejahteraan mental.
Katanya, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM944,360 bagi menyediakan bantuan-bantuan ini mulai 24 hingga 31 Mac ini.


