ARTIKEL

Dr. Abdullah menyampaikan hadiah kepada Pasukan Pewaris yang menjuarai Pertandingan Tandak Melayu Sarawak kategori Kanak-kanak Siri Kedua 2026 sempena Projek Kenyalang Bersaok.

Pewaris muncul johan Kategori Kanak-Kanak Kenyalang Bersaok

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING : Usaha melahirkan generasi pewaris seni Tandak Nopeng Melayu Sarawak diperkasa menerusi pengenalan Kategori Kanak-Kanak pada Projek Kenyalang Bersaok Siri Kedua 2026, yang julung kali memberi ruang kepada bakat muda seawal usia sekolah rendah.

Presiden Kenyalang Prodigy merangkap Pengarah Projek Kenyalang Bersaok Siri Kedua 2026, Muhammad Nur Fawwiz Bolkiah, berkata pengenalan kategori baharu itu penting bagi memastikan seni warisan Melayu Sarawak terus dipelajari, dihayati dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

Katanya, tiga pasukan Kategori Kanak-Kanak menyertai pertandingan tahun ini bersama sembilan pasukan Kategori Belia, menjadikan keseluruhan 12 pasukan mengambil bahagian dalam penganjuran berkenaan.

“Visi Kenyalang Prodigy adalah memartabatkan Projek Kenyalang Bersaok sebagai platform pendidikan seni merentas kepulauan Borneo.

“Tahun ini, pengenalan Kategori Kanak-Kanak memberi nafas baharu agar anak-anak kita bukan sekadar menjadi penonton, malah penghayat seni,” katanya semasa berucap pada penutupan Projek Kenyalang Bersaok Siri Kedua 2026, semalam.

Gambar kenang-kenangan para peserta bersama tetamu kehormat yang hadir pada Majlis Penutupan Projek Kenyalang Bersaok Siri Kedua 2026.

Muhammad Nur Fawwiz berkata Kenyalang Prodigy kekal komited untuk memperluas projek berkenaan sebagai platform pendidikan dan apresiasi seni, selain menghubungkan komuniti seni serta generasi muda di Sarawak dan rantau Borneo.

Beliau berkata pihaknya juga berharap pementasan dan penyertaan antarabangsa dapat kembali pada edisi akan datang selepas penyertaan pasukan dari negara jiran tidak dapat direalisasikan tahun ini atas faktor teknikal.

Bagaimanapun, sokongan diplomatik serantau tetap terserlah menerusi kehadiran rasmi Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Dr Abdullah Zulkifli, dan Timbalan Konsul Jeneral Brunei Darussalam di Kuching, Muhammad Nur’izzuddin Osman.

Kehadiran wakil diplomatik kedua-dua negara itu mencerminkan hubungan kebudayaan yang terus terjalin dalam kalangan masyarakat di kepulauan Borneo, khususnya menerusi seni dan warisan tradisional.

Pada edisi tahun lalu, Projek Kenyalang Bersaok menyaksikan penyertaan tiga pasukan dari Brunei Darussalam.

Selain pertandingan, penganjuran tahun ini turut menampilkan Pameran Seni dan Jualan Karya “Mensia Lana” oleh Dr Ashari Hamdan yang mengetengahkan koleksi lukisan nostalgia berkaitan Tandak Nopeng Melayu Sarawak serta adat resam majlis perkahwinan tradisional masyarakat Melayu Sarawak.

Sementara itu, Alun Warisan Tradisi dinobatkan sebagai johan Kategori Belia, diikuti Anak Seni Kenyalang di tempat kedua, Bujang Sarawak di tempat ketiga, Anak Seni Creation di tempat keempat dan Telaga Air Sepupu di tempat kelima dalam pertandingan berkenaan.

Telaga Air Sepupu turut menerima anugerah Busana Terbaik Keseluruhan.

Bagi Kategori Kanak-Kanak, Pewaris muncul johan, diikuti Warisan Madah Tradisi di tempat kedua dan Warisan Sri Tanjung di tempat ketiga.

Turut hadir Ketua Seksyen OKSHE, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Dayang Morzanah Awang Haddy.

BERITA LAIN

DBKU rancang perluas jaringan bandar raya kembar

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) merancang memperluas jaringan bandar raya kembar dengan beberapa kota di lima wilayah Kalimantan, Indonesia sebagai langkah memperkukuh kerjasama rentas

BERITA TERBARU

DBKU rancang perluas jaringan bandar raya kembar

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) merancang memperluas jaringan bandar raya kembar dengan beberapa kota di lima wilayah Kalimantan, Indonesia sebagai langkah memperkukuh kerjasama rentas