KUCHING: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatatkan sembilan kejayaan besar dalam siri operasi bersepadu Op Taring Alpha, Op Taring Bravo dan Op Taring Awas/ Batas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM6,099,662.50.
Timbalan Komander Briged Sarawak PGA, ACP Rosdi Inai berkata, kejayaan itu merupakan hasil risikan dan tindakan pantas pasukan PGA yang komited memerangi kegiatan penyeludupan, penyelewengan barangan bersubsidi serta pemilikan barangan tanpa permit yang sah.
“Antara kejayaan utama ialah rampasan rokok dan minuman keras tidak bercukai, barang kawalan seperti minyak masak, bawang besar, daging sejuk beku serta bahan api bersubsidi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Rosdi, dalam kejayaan pertama pada 7 Mei lalu, sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 12 PGA Miri menyerbu sebuah premis di Miri dan menahan tiga individu, termasuk seorang warga Indonesia.
Rampasan melibatkan 7,400 karton rokok putih, 3,160 karton rokok kretek dan 201 karton minuman keras bernilai RM3.09 juta, katanya.
Pada 11 Mei pula, serbuan oleh Batalion 11 PGA Kuching di sebuah premis di Kuching membawa kepada rampasan 2,848 karton rokok putih pelbagai jenama dengan nilai RM1.01 juta. Seorang lelaki tempatan turut ditahan.
“Dalam operasi pada 10 Mei di Lundu, Batalion 11 PGA Kuching menahan tiga lelaki yang membawa 16,200 kilogram bawang besar menggunakan tiga lori. Nilai rampasan dianggarkan RM924,000.
“Sementara itu, operasi di Bau pada 7 Mei berjaya menahan seorang lelaki tempatan bersama 5,000 kilogram daging sejuk beku tanpa permit sah bernilai RM385,000.
“Turut dirampas dalam operasi berasingan ialah 4,182 kilogram minyak masak di Lundu pada 10 Mei (RM228,855.80), dan 1,428 kilogram minyak masak dalam pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Lundu pada 9 Mei (RM69,853.20),” katanya.
Selain itu, Rosdi berkata, pada 8 Mei di Debak, Batalion 23 PGA Sri Aman berjaya merampas 1,260 liter petrol, 750 liter diesel dan 20 tong gas LPG daripada sebuah lori yang dipandu lelaki tempatan berumur 40 tahun.
Katanya, jumlah rampasan dianggarkan RM211,545.50.
“Pasukan PGA turut melaksanakan rondaan di kawasan sempadan Tebedu–Kalimantan pada 8 Mei yang membawa kepada rampasan 244 karton rokok putih pelbagai jenama bernilai RM166,408.00.
“Manakala pada 5 Mei, seorang warga Indonesia berusia 53 tahun ditahan kerana membawa 100 kilogram minyak masak dan 20 kilogram beras melalui jalan tidak diwartakan di sempadan Lubok Antu. Nilai rampasan mencecah RM7,480,” jelas beliau.
Menurut Rosdi, sejak 1 Januari hingga 12 Mei 2025, Op Taring Briged Sarawak PGA secara keseluruhannya telah merekodkan 170 kes melibatkan 277 tangkapan.
Daripada jumlah itu katanya, seramai 205 warga tempatan dan 72 warga asing serta rampasan 174 buah kenderaan pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM234 juta.
“Briged Sarawak PGA akan terus memperhebat operasi di sempadan dan kawasan panas sebagai usaha memastikan keselamatan negara terus terpelihara daripada ancaman penyeludupan dan penyelewengan barangan,” katanya.







