KUCHING: Pelbagai operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan rangkaian sindiket dengan nilai rampasan mencecah RM156.63 juta dalam tempoh 1 Januari hingga 20 April 2026.
Komander Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am SAC Lim Bak Phai berkata, dalam tempoh yang sama seramai 228 individu ditahan hasil tindakan bersepadu di beberapa kawasan utama di negeri ini termasuk Kuching, Sibu, Miri, Bintulu dan Sri Aman.


“Daripada jumlah itu, 182 merupakan warga tempatan, manakala 46 lagi warga asing,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Lim, kejayaan tersebut dipacu oleh keberkesanan pelaksanaan pelbagai operasi khas yang dijalankan secara berterusan di lapangan, melibatkan Op Taring Bravo, Op Taring Batas/Awas, Op Taring Chiller, Op Taring Libas, Op Taring Mitra dan Op Hazard 3.0.
Beliau berkata fokus operasi bukan sahaja tertumpu kepada penyeludupan konvensional, malah merangkumi aktiviti penyalahgunaan barangan kawalan serta rantaian bekalan tidak sah yang semakin kompleks.


“Dalam tempoh 1 hingga 20 April sahaja, sebanyak 27 kejayaan operasi direkodkan dengan jumlah rampasan RM32.23 juta, sekali gus menunjukkan keberkesanan tindakan risikan dan operasi di lapangan semakin meningkat.
“Antara kejayaan terbesar ialah Op Taring Chiller yang mencatatkan rampasan tertinggi berjumlah RM21.3 juta, diikuti Op Taring Bravo RM7.36 juta, Op Taring Libas RM4.57 juta, Op Taring Batas/Awas RM3.29 juta, Op Hazard 3.0 RM1.83 juta serta Op Taring Mitra kira-kira RM60,951,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Lim berkata operasi turut memberi tumpuan kepada kes penyelewengan minyak diesel dan barangan kawalan, selain menumpaskan aktiviti penyimpanan serta pengedaran produk sejuk beku tanpa permit dalam kuantiti besar.
Salah satu kes utama katanya, melibatkan rampasan lebih 300,000 kilogram pelbagai produk seperti ayam, daging, babi, ikan dan hasil laut dengan nilai keseluruhan sekitar RM15.8 juta, termasuk peralatan stor serta mesin pemprosesan.

“Pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) sejak 16 Mac 2026 turut memberi kesan signifikan apabila 264 pemeriksaan dijalankan dengan 31 kes dikesan, melibatkan rampasan bernilai RM13.5 juta serta 45 tangkapan.
“Operasi berkenaan turut membongkar pelbagai aktiviti lain termasuk penyeludupan rokok dan minuman keras, pemprosesan air ketum, aktiviti e-waste secara haram serta pembalakan tanpa lesen yang sah.
“Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk siasatan lanjut,” jelasnya.
Sehubungan itu kata Lim, PGA akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan secara agresif dan berterusan bagi memastikan sindiket penyeludupan dapat dibanteras sepenuhnya, sekali gus menjamin keselamatan dan kedaulatan negeri sentiasa terpelihara.


