KUCHING: Dalam tempoh hanya 13 hari, Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) membongkar pelbagai kegiatan menyalahi undang-undang di beberapa daerah dengan nilai rampasan mencecah RM40.39 juta menerusi 24 kejayaan dalam enam operasi penguatkuasaan.


Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai berkata, operasi yang dijalankan dari 1 hingga 13 Ogos lalu itu membabitkan Op Taring Alpha, Op Taring Bravo, Op Taring Chiller, Op Taring Batas/Awas, Op Taring Libas dan Op Bersepadu Khazanah.
Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan di Lundu, Padawan, Bintulu, Miri, Kota Samarahan, Betong, Bau, Serian, Kuching, Sri Aman dan Sarikei, dengan menyasarkan pelbagai kegiatan termasuk penyeludupan, penyelewengan barangan kawalan serta aktiviti tanpa permit sah.

“Antara kesalahan dikesan termasuk penyimpanan dan penjualan barangan tidak bercukai, penyelewengan minyak diesel, pengedaran produk makanan tanpa permit serta pemprosesan dan pengumpulan kayu tanpa dokumen atau permit sah,” katanya dalam kenyataan.
Lim berkata, Op Taring Chiller mencatatkan nilai rampasan paling besar iaitu RM33.97 juta menerusi 12 kes dan 12 tangkapan.
Operasi itu katanya membabitkan kegiatan penyimpanan dan pengedaran produk ayam serta pelbagai barangan sejuk beku tanpa permit sah, dengan kira-kira 573.85 tan produk sejuk beku dirampas termasuk ayam, daging, ikan, kambing, sotong dan ketam.
“Turut disita ialah ayam hidup, stor sejuk beku, forklift, lori serta pelbagai mesin dan peralatan pemprosesan.
“Op Taring Libas merekodkan tiga kes dengan tiga tangkapan di Padawan, Kuching dan Kota Samarahan berkaitan aktiviti pemprosesan serta pengumpulan kayu tanpa dokumen atau permit sah.
“Rampasan bernilai RM3.06 juta itu terdiri daripada kayu diproses dan belum diproses, forklift, lori serta pelbagai mesin dan peralatan pemprosesan sebelum kes diserahkan kepada Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Bagi Op Taring Alpha pula kata Lim, empat kes dengan lima tangkapan direkodkan di Miri, Kota Samarahan, Sri Aman dan Sarikei membabitkan penyimpanan serta penjualan rokok dan minuman keras yang belum diluluskan cukai Kastam.
Nilai keseluruhan rampasan katanya dianggarkan RM1.94 juta, manakala kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
“Di Betong, Op Taring Bravo merekodkan satu kes dengan satu tangkapan berkaitan penyelewengan minyak diesel, termasuk penemuan 7,500 liter diesel yang disimpan tanpa dokumen atau permit sah.
Turut dirampas ialah dua tangki skid, dua kren serta pelbagai tong dan peralatan mengepam minyak, dengan nilai keseluruhan rampasan RM1.15 juta. Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya lagi.
Dalam pada itu kata beliau, Op Taring Batas/Awas merekodkan tiga kes dengan sembilan tangkapan di Lundu, Bau dan Serian membabitkan kemasukan ke Malaysia tanpa dokumen atau permit sah serta penemuan barangan kawalan yang ditinggalkan di tepi jalan.
Rampasan dalam operasi itu katanya membabitkan sembilan telefon bimbit, dua kenderaan, 1,080 kilogram gula, enam tong gas, 221 kilogram minyak masak serta barangan kawalan lain bernilai RM158,099.
“Op Bersepadu Khazanah di Padawan pula merekodkan satu kes dengan satu tangkapan berkaitan pemilikan dan pemeliharaan spesies hidupan liar dilindungi tanpa dokumen atau permit sah.
“Pemeriksaan membawa kepada rampasan 7.6086 kilogram sarang burung walet serta pelbagai peralatan pemprosesan bernilai RM125,548.80 sebelum kes diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Keseluruhannya, kejayaan dalam tempoh 13 hari itu memperlihatkan skala operasi Briged Sarawak PGA dalam membanteras kegiatan penyeludupan, penyelewengan barangan kawalan serta aktiviti tanpa permit yang melibatkan pelbagai sektor,” katanya lagi.

