ARTIKEL

RAMPAS…Antara barangan yang dirampas hasil pelaksanaan tiga operasi utama, iaitu Op Taring Chiller, Op Taring Batas/Awas dan Op Taring Libas di Sarawak.

PGA Sarawak Catat 13 Kejayaan, Rampasan Cecah RM18.34 Juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gerakan membanteras jenayah rentas sempadan dan pembalakan haram di Sarawak dipertingkatkan apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatatkan 13 siri kejayaan dengan jumlah rampasan keseluruhan RM18.34 juta sepanjang Februari lalu.

Komander Briged Sarawak SAC Lim Bak Phai berkata, kejayaan itu diraih hasil pelaksanaan tiga operasi utama, iaitu Op Taring Chiller, Op Taring Batas/Awas dan Op Taring Libas.

“Operasi ini memfokuskan kepada jenayah penyeludupan, kemasukan tanpa dokumen sah serta aktiviti pembalakan haram yang menjejaskan keselamatan dan ekonomi negeri”, katanya dalam kenyataan.

Tambah Lim, dalam Op Taring Batas/Awas, seramai enam warga asing dan seorang warga tempatan ditahan di daerah Serian, Sri Aman dan Bau kerana cuba memasuki Malaysia tanpa dokumen sah.

Beliau berkata, mereka juga disyaki terlibat dalam penyeludupan barang kawalan dan produk sejuk beku.

“Rampasan daripada operasi itu termasuk 3,200 kilogram bawang merah, 300 kilogram produk sejuk beku, wang tunai, telefon bimbit serta beberapa kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti haram.

“Bagi Op Taring Chiller pula, seramai 10 warga tempatan diberkas menerusi beberapa serbuan di Saratok, Miri, Sibu, Kota Samarahan dan Limbang.

“Rampasan membabitkan 136,402.4 kilogram pelbagai jenis produk sejuk beku, stor sejuk beku, forklift, mesin pemprosesan dan kenderaan yang digunakan untuk penyeludupan,” ujarnya.

Sementara itu beliau menambah, dalam Op Taring Libas di Selangau, dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti pembalakan tanpa permit sah.

Turut dirampas katanya, sebanyak 26 batang kayu balak serta jentera berat dengan nilai melebihi RM2 juta.

“Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 28 Februari 2026, Briged Sarawak PGA merekodkan 113 kes dengan 95 tangkapan.

“Jumlah nilai rampasan keseluruhan bagi tempoh itu berjumlah RM76.78 juta.

“Tindakan berterusan ini bertujuan memastikan keselamatan negeri Sarawak sentiasa terpelihara dan aktiviti haram dapat dibendung dengan lebih efektif,” katanya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU