KUCHING: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatatkan 15 kejayaan antara 26 November hingga 16 Disember ini melalui Op Taring Alpha, Op Taring Bravo, dan Op Taring Batas/Awas, dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM9.9 juta.
Komander Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am SAC Lim Bak Phai berkata, pada 26 November lalu, Op Taring Alpha dijalankan serentak di enam premis sekitar daerah Miri oleh Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA bersama-sama Batalion 12 PGA Miri.


“Operasi ini menahan empat lelaki tempatan berumur 29 hingga 57 tahun dan dua wanita tempatan berumur 21 hingga 34 tahun yang disyaki terlibat dalam penyimpanan dan penjualan rokok serta minuman keras tanpa cukai Kastam.
“Rampasan termasuk 4,909 karton rokok, 12,586.04 liter minuman keras, dan dua kenderaan dengan anggaran nilai RM2,518,868.85, diserahkan kepada IPD Miri untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim menambah, pada 28 November lalu, Infantri Batalion 11 PGA Kuching menahan seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun di Kampung Raso, Lundu, yang cuba menyeludup 1,800 kilogram bawang merah tanpa dokumen sah bersama dengan sebuah motolori, dengan nilai rampasan RM160,000.
Pada hari yang sama, Op Taring Bravo di Lundu dan Siburan menahan lapan lelaki tempatan berumur 19 hingga 67 tahun disyaki menyeludup minyak tanah dan diesel bersubsidi serta bawang merah dan gula putih tanpa permit.

“Rampasan terdiri daripada 1,509 liter minyak tanah, 50 liter minyak diesel, lima tong drum, tujuh tong jerigen, 10,908 kilogram bawang merah, 25,000 kilogram gula putih dan enam kenderaan bernilai RM1,032,144.70, diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sarawak.
“Pada 1 Disember 2025, Infantri Batalion 10 PGA Sibu menahan dua wanita warga asing berumur 20 hingga 45 tahun di Lubuk Antu yang cuba menyeludup 30 kilogram daging lembu sejuk beku, 30 kilogram tulang lembu sejuk beku dan sebuah SUV bernilai RM181,440, diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak.
“Pemeriksaan sebuah MPV menahan dua wanita warga asing berumur 42 hingga 44 tahun kerana cuba menyeludup 17 kilogram minyak masak dan 12 kilogram gula CSR, dengan nilai keseluruhan RM35,076, diserahkan kepada KPDN Sarawak,” katanya.
Sim berkata, Op Taring Alpha pada 2 Disember di Miri dan Simunjan menahan empat lelaki tempatan berumur 20 hingga 35 tahun bersama dengan 207 karton rokok, 323.79 liter minuman keras dan sebuah motokar bernilai RM124,107.05, diserahkan kepada IPD Miri dan Simunjan.
Beliau berkata, pada 3 Disember, satu premis di Bintulu diperiksa, menahan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun bersama dengan 2,003 karton rokok dan 2,075 liter minuman keras bernilai RM768,482.80, diserahkan kepada IPD Bintulu.
“Pada 5 Disember, operasi serentak di tujuh premis seluruh Sarawak menahan enam lelaki tempatan, seorang wanita tempatan, dua lelaki asing dan seorang wanita asing yang disyaki menyimpan dan menjual rokok, minuman keras dan mercun.
“Rampasan terdiri daripada 3,644 karton rokok, 1,061.4 liter minuman keras, mercun pelbagai jenis dan dua kenderaan bernilai RM1,603,589.80, diserahkan kepada IPD yang terlibat.
“Pada 6 Disember, Infantri Batalion 23 PGA Sri Aman menemui 10 bungkusan di sebuah pondok tidak berpenghuni semasa rondaan di kawasan sempadan Malaysia–Indonesia, Lachau, Sri Aman, yang mengandungi 81.60 liter minuman keras bernilai RM5,760, diserahkan kepada IPD Sri Aman,” katanya.
Selain itu kata Lim, Op Taring Alpha pada 10 Disember menahan lapan lelaki dan empat wanita tempatan di 10 premis di seluruh Sarawak bersama dengan rampasan 2,120 karton rokok, 7,872.83 liter minuman keras dan tiga kenderaan bernilai RM1,379,396.85.
Katanya, Pada 12 Disember, sebuah motolori di Bau diperiksa, menahan seorang lelaki tempatan berumur 54 tahun bersama 600 kotak sosej sejuk beku bernilai RM196,800, diserahkan kepada KPDN Sarawak.
Pada hari sama, tujuh premis di seluruh Sarawak menahan lima lelaki dan dua wanita tempatan serta merampas 607 karton rokok, 1,125.96 liter minuman keras dan dua kenderaan bernilai RM387,645.90, diserahkan kepada IPD yang terlibat.

“Pada 13 Disember, seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun di Kuching ditahan bersama 104.84 liter minuman keras bernilai RM34,240.50. Op Taring Alpha pada 15 Disember menahan tujuh lelaki dan dua wanita tempatan di tujuh premis seluruh Sarawak dengan rampasan 2,796 karton rokok, 1,551.46 liter minuman keras dan 208 unit mercun bernilai RM1,132,339.40.
“Akhirnya, dua premis di Serian diperiksa, menahan dua lelaki tempatan berumur 29 hingga 35 tahun bersama dengan 863 karton rokok, 935.76 liter minuman keras dan sebuah motolori bernilai RM408,311.60, diserahkan kepada IPD Serian semalam.
“Sepanjang pengoperasian Op Taring Briged Sarawak PGA dari 1 Januari hingga 16 Disember 2025, PGA Sarawak mencatatkan kejayaan bernilai RM404.9 juta melalui 623 kes, dengan 741 tangkapan termasuk 591 warga tempatan dan 150 warga asing, serta rampasan 362 kenderaan pelbagai jenis.



