ARTIKEL

RAMPAS… Antara barang rampasan yang direkodkan PGA Sarawak bulan lepas.

PGA Sarawak rampas barangan bernilai RM84.42 juta dalam 29 operasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Aktiviti pengumpulan dan pemprosesan kayu tanpa permit menyumbang sebahagian besar daripada nilai rampasan RM84.42 juta yang direkodkan oleh Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi 29 siri kejayaan operasi dari 14 hingga 30 September lalu.

Daripada jumlah berkenaan, RM76.83 juta direkodkan menerusi tiga siri kejayaan Op Taring Libas di Tatau, Kuching dan Betong yang membabitkan aktiviti pengumpulan serta pemprosesan kayu tanpa permit yang sah.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai berkata kejayaan operasi berkenaan turut membawa kepada 41 tangkapan, terdiri daripada 30 warga tempatan dan 11 warga asing.

“Operasi yang dijalankan turut membabitkan pelbagai kesalahan termasuk penyimpanan dan penjualan rokok serta minuman keras yang belum diluluskan Kastam, penyelewengan minyak bersubsidi, penyeludupan barang kawalan dan produk sejuk beku,” katanya dalam kenyataan.

Lim menambah, operasi turut melibatkan kesalahan imigresen dan dadah serta aktiviti memproses dan menjual air ketum.

Menerusi Op Taring Libas, katanya, tiga siri kejayaan direkodkan di Tatau, Kuching dan Betong berkaitan aktiviti pengumpulan serta pemprosesan kayu tanpa permit yang sah.

“Operasi itu membabitkan rampasan kayu balak dan kayu yang telah diproses, selain minyak diesel, tangki skid, jentera berat, forklift, lori serta pelbagai peralatan dan mesin pemprosesan, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM76.83 juta.

“Sementara itu, Op Taring Bravo di Sri Aman merekodkan satu siri kejayaan membabitkan aktiviti penyelewengan minyak diesel.

“Operasi berkenaan membawa kepada rampasan 4,000 liter minyak diesel, sebuah tangki skid, empat jentera berat serta sebuah lori, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3.79 juta,” jelas beliau.

Lim berkata lagi, bagi Op Taring Batas/Awas pula, sebanyak sembilan siri kejayaan direkodkan di Sri Aman, Lundu, Lawas, Serian dan Bau, membabitkan kesalahan imigresen dan dadah, penyelewengan minyak bersubsidi, pengumpulan serta pemprosesan kayu gaharu tanpa permit dan cubaan menyeludup gula kasar serta produk sejuk beku tanpa permit yang sah.

Keseluruhan operasi itu, katanya, membawa kepada rampasan bernilai RM2.18 juta.

“Dalam pada itu, Op Taring Alpha merekodkan 13 siri kejayaan di Kuching, Padawan, Kota Samarahan, Sibu dan Miri, membabitkan aktiviti penyimpanan serta penjualan rokok dan minuman keras yang belum diluluskan Kastam.

“Operasi itu membawa kepada rampasan 2,950 karton pelbagai jenis rokok, lebih 9,500 liter pelbagai jenis minuman keras serta sebuah kenderaan, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.46 juta.

“Bagi Op Taring Chiller, tiga siri kejayaan direkodkan di Miri membabitkan aktiviti penyimpanan serta pengedaran produk ayam dan daging sejuk beku tanpa permit yang sah,” ujarnya.

Secara keseluruhan, kata beliau, operasi itu membawa kepada rampasan 2,826 kilogram produk sejuk beku, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM158,995.

Selain itu, katanya, satu siri kejayaan menerusi Op Taring Mitra di Kuching membabitkan aktiviti memproses dan menjual air ketum.

“Operasi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan serta rampasan 15 kilogram daun ketum, 138 botol air ketum, tiga tong gas, dua telefon bimbit, wang tunai RM1,042 dan pelbagai peralatan memproses, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM7,849.

“Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada jabatan serta agensi berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU