PGA Sarawak rampas barangan seludup berjumlah RM192,205 dalam tempoh seminggu

KUCHING: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan nilai rampasan berjumlah RM192, 205 daripada aktiviti penyeludupan barangan bercukai dan pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam tempoh seminggu sehingga semalam.

Komander PGA Sarawak Senior Asisten Komisioner Saini Bongkek berkata, dua suspek lelaki warga tempatan yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan tersebut turut ditangkap, manakala kesemua 33 lagi Pati yang dicekup telah dikenakan tindakan pengusiran serta-merta.

Menurutnya, kesemua Pati tersebut terdiri daripada 23 lelaki dan 10 orang wanita warga Indonesia.

“Pecahan nilai rampasan adalah melibatkan rokok seludup bernilai RM90, 805.60, arak dan minuman keras seludup bernilai RM21,399.84, kenderaan digunakan untuk aktiviti seludup RM60,000 dan lain-lain rampasan bernilai RM20,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, tangkapan dan rampasan terbabit kini masih dalam siasatan di bawah Akta Imigresen 1963, Akta Kastam 1967, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), dan lain-lain akta berkaitan.

Dalam pada itu, Saini berkata hasil pengoperasian bermula awal tahun ini sehingga semalam, PGA mencatatkan kejayaan bernilai RM27,777,262.56 dengan jumlah 247 kes.

Gerakan Pati menerusi jalan tikus masih ada walaupun sudah dikesan beberapa kali oleh pasukan penguat kuasa yang bertugas di persempadanan Sarawak.

Suara Sarawak