KUCHING: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dan barangan kawalan melalui 21 siri operasi antara 16 hingga 31 Mac lalu, membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM9.49 juta.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai berkata, dalam operasi di Sematan itu, PGA merampas 28 kilogram ketulan kristal disyaki methamphetamine dan 1,250 gram katrij vape disyaki mengandungi cecair dadah jenis ganja, bernilai RM1.58 juta.


“Dua lelaki warga Indonesia ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan PGA mengekang penyeludupan di sempadan serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan.


Lim menambah, selain dadah, operasi turut membongkar penyelewengan dan penyeludupan barangan kawalan seperti minyak diesel bersubsidi, gula kasar, minyak masak, produk sejuk beku, minuman keras dan rokok tanpa dokumen sah.
Beliau berkata, aktiviti haram ini dijalankan melalui premis, stor simpanan dan kenderaan bagi tujuan pengedaran dadah di sekitar Kuching, Kota Samarahan, Sri Aman, Sibu, Miri dan Lawas.


“Sepanjang operasi, sejumlah individu warga tempatan dan asing ditahan.
“Semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan termasuk KPDN, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, serta IPD untuk tindakan lanjut.

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2026, Briged Sarawak PGA mencatat 182 kes dengan nilai rampasan RM117.47 juta dan 168 tangkapan, membabitkan 127 warga tempatan dan 41 warga asing,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat.



