ARTIKEL

SAC Lim Bak Phai.

PGA Sarawak Rekod Rampasan RM15.14 Juta Dalam 26 Siri Operasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merekodkan pelbagai rampasan bernilai RM15.14 juta menerusi 26 siri operasi yang dilaksanakan di seluruh negeri sepanjang tempoh 1 hingga 22 Jun lalu, sekali gus membawa kepada penahanan 39 individu atas pelbagai kesalahan.

Kejayaan tersebut dicapai menerusi pelaksanaan Op Taring Alpha, Op Taring Bravo, Op Taring Batas/Awas, Op Taring Chiller, Op Taring Delta dan Op Taring Libas yang dijalankan di beberapa lokasi strategik di seluruh Sarawak.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan pasukan berkenaan dalam membanteras aktiviti penyeludupan, penyelewengan barang kawalan, pembalakan tanpa permit serta pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan di negeri ini.

RAMPAS…Antara rampasan berjaya dilaksanakan dalam pelbagai operasi sepanjang tempoh 1 hingga 22 Jun lepas.

Menurut beliau, antara kejayaan utama yang direkodkan termasuklah rampasan produk sejuk beku tanpa permit, penyelewengan minyak diesel, rokok dan minuman keras tidak bercukai serta kegiatan pembalakan tanpa permit yang dikesan menerusi operasi berkenaan.

“Antara rampasan terbesar yang direkodkan ialah produk sejuk beku tanpa permit di sekitar Kuching dan Saratok dengan nilai rampasan melebihi RM1 juta bagi setiap kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi tersebut turut berjaya menumpaskan beberapa kegiatan penyelewengan minyak diesel di Samarahan, Sri Aman dan Bintulu yang melibatkan rampasan sebanyak 45,770 liter minyak diesel.

Turut dirampas katanya ialah tangki skid, tangki IBC, peralatan pemindahan minyak, kenderaan serta jentera yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

“Dalam pada itu, menerusi Op Taring Alpha, beberapa serbuan di Sarikei dan Padawan membawa kepada rampasan pelbagai jenis rokok serta minuman keras tidak bercukai.

“Menerusi Op Taring Batas/Awas pula, PGA berjaya mengesan cubaan menyeludup produk daging sejuk beku tanpa permit di daerah Bau,” jelasnya.

Lim berkata, operasi tersebut turut merekodkan rampasan bernilai RM5.93 juta membabitkan kegiatan pembalakan tanpa permit, termasuk peralatan dan jentera yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan.

Katanya, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU