PETALING JAYA: Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) kembali ke pentas dua dekad selepas mencetuskan fenomena teater muzikal tempatan, dengan pementasan 2026 menawarkan pengalaman visual dan persembahan yang memukau.
Terbitan Enfiniti Productions itu dibuka secara rasmi di The Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), dengan Puan Sri Tiara Jacquelina kembali mengemudi naskhah ini sebagai penerbit merangkap pengarah seperti dilapor Bernama.
Kekuatan produksi paling terserlah pada rekaan set Gunung Ledang yang bertingkat, pencahayaan moden yang menggambarkan air terjun, serta peralihan latar dari keraton Majapahit ke istana Melaka yang kemas.
Dalam kalangan pelakon, Aisha Retno dan Mila Mohsin bergilir menggalas watak Gusti Putri Retno Dumilah, masing-masing dengan interpretasi tersendiri, manakala Aqasha menghidupkan watak Hang Tuah melalui aksi silat dan penghayatan konflik yang mantap.
Pementasan PGLM 2026 berlangsung mulai hari ini hingga 15 November, dengan penampilan Mimi Fly, Nadia Aqilah, Yusuf Hashim dan Luqman Hafidz turut menyerlahkan barisan watak sampingan.






