KUCHING: Kumpulan Warih Melanau muncul juara dalam kategori bermukun berkumpulan dan membawa pulang wang tunai RM5,000 serta trofi dan sijil pada Pertandingan Mega Gendang Melayu Sarawak 2026.
Gelaran naib juara pula dimenangi kumpulan Gabungan Seri Kenyalang yang membawa pulang wang tunai RM4,000 serta trofi dan sijil.

Tempat ketiga dan keempat masing-masing diraih kumpulan Khazanah Warisan dan kumpulan Selendang Sutera Brunei.
Khazanah Warisan membawa pulang wang tunai RM3,000 serta sijil dan trofi, manakala Selendang Sutera Brunei daripada negara jiran itu menerima wang tunai RM1,500, trofi serta sijil.
Pertandingan itu dianjurkan sempena Festival Gendang Sarawak (FGS) 2026 edisi ke-12 oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak, dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta Pejabat Residen Bahagian Kuching.
Pertandingan bertemakan Nadi Warisan Irama Tradisi itu turut diadakan sempena Sarawak Regatta – Kuching Waterfront Festival bermula 29 Oktober hingga 1 November ini.

Pertandingan akhir FGS 2026 yang diadakan pada 30 Oktober itu merangkumi empat kategori iaitu Kategori Bermukun Berkumpulan, Kategori Tandak Berpasangan Lelaki Dewasa, Kategori Seh Gendang Berpasangan Wanita Dewasa dan Kategori Tandak Berpasangan Kanak-kanak.
Kategori Tandak Berpasangan Lelaki Dewasa dimenangi kumpulan Warisan Lenggok Berzaman, manakala kategori Seh Gendang Berpasangan Wanita Dewasa dimenangi kumpulan Dua Beranak dari Kampung Sejaie.
Kategori Tandak Berpasangan Kanak-kanak pula dimenangi kumpulan Pewaris Telaga Air.
Anugerah Khas Juri Busana dan Tatarias Terbaik dimenangi kumpulan daripada Indonesia iaitu Medang Serai Mempawah.

Pertandingan itu melibatkan penyertaan enam kumpulan yang mewakili Zon Limbang; Zon Bintulu dan Miri; Zon Sarikei, Sibu, Mukah dan Kapit; Zon Sri Aman dan Betong; serta Zon Samarahan, Kuching dan Serian.
Pertandingan itu turut disertai dua kumpulan daripada Indonesia dan Brunei.
Kesemua kumpulan yang bertanding melalui proses pemilihan menerusi pertandingan peringkat zon yang bermula pada 20 Jun lepas sebelum berakhir di Kuching pada 24 dan 25 Oktober lalu.
Pertandingan itu dinilai oleh empat juri iaitu Razali Yu, Yusup Buang, Faizal Jamil dan Ismail Zakira.
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.







