BUKIT MERTAJAM: Pakatan Harapan (PH) akan terus mempertahankan politik berasaskan nilai, integriti dan keupayaan mentadbir, di samping meneliti strategi baharu bagi menghadapi perubahan landskap politik semasa.
Menurut Bernama, naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata pendekatan itu kekal menjadi teras perjuangan PH kerana rakyat akhirnya akan menilai perkara yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka, termasuk kos sara hidup, ekonomi, pendidikan dan prestasi kerajaan.
Beliau berkata PH juga akan melakukan penambahbaikan berdasarkan penilaian pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Menurutnya, PH perlu memperkemas pendekatan komunikasi supaya pencapaian kerajaan, dasar ekonomi serta pelbagai usaha membantu rakyat dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
Pada PRN Negeri Sembilan semalam, Barisan Nasional (BN) memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memperoleh 11 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) tujuh kerusi.
Sementara itu, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata gabungan itu akan mengadakan mesyuarat pada 8 Ogos bagi meneliti keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan, selain menyusun strategi baharu sebagai persediaan menghadapi kemungkinan pilihan raya umum lebih awal.
Beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada prestasi kerajaan, kesejahteraan rakyat, pencapaian serta usaha mewujudkan peluang pekerjaan.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim berkata keputusan PRN Negeri Sembilan menjadi peringatan penting kepada parti untuk bermuhasabah dan memperkukuh perancangan.
Beliau menggesa ahli parti terus turun padang, memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta memperhebat usaha meraih semula kepercayaan dan keyakinan pengundi.



