JOHOR BAHRU: Parti komponen dalam Pakatan Harapan disaran mengutamakan penjenamaan gabungan itu menggunakan nama “PH” berbanding membawa identiti parti masing-masing bagi memperkukuh keyakinan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.
Cadangan itu antara yang dibangkitkan perwakilan negeri semasa Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor yang menghimpunkan kira-kira 5,000 perwakilan dan pimpinan parti.
Pengerusi Parti Amanah Negara Kelantan, Mohamad Supardi Md Noor berkata gabungan itu perlu bergerak sebagai satu pasukan dan mengetepikan rasa curiga antara parti komponen supaya tidak dilihat berpecah di mata rakyat seperti dilapor BERNAMA.
Perwakilan turut mencadangkan calon pilihan raya akan datang diketengahkan atas kapasiti “calon PH” merentasi kepentingan parti, kaum dan agama selain menolak politik kebencian serta perpecahan.
Selain itu, pimpinan gabungan berpendapat PH perlu terus membawa naratif kestabilan politik, pembangunan negara dan memperjuangkan lebih banyak penyertaan wanita dalam pilihan raya umum serta negeri akan datang.



