SIMUNJAN: Dua pasukan pilihan, Pemuda Gedong dan Ex Force, melakar sejarah apabila muncul juara kategori Senior dan Veteran pada edisi sulung Kejohanan Bola Sepak Piala Parlimen P.200 Batang Sadong, Rodiyah Sapiee 2026.
Pemuda Gedong memuktamadkan kejuaraan kategori Senior selepas menewaskan Zass FC 4-1 pada aksi final di Kompleks Sukan Simunjan petang tadi.
Bagi kategori Veteran, Ex Force menewaskan Abok FC 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh.

Kejayaan itu membolehkan Pemuda Gedong membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala dan pingat, manakala Zass FC selaku naib juara menerima RM2,000 berserta piala dan pingat.
Gedong Unity dan Alaska King yang tewas pada peringkat separuh akhir masing-masing menerima RM1,000 berserta piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Ex Force pula menerima wang tunai RM6,000 berserta piala dan pingat, manakala Abok FC selaku naib juara membawa pulang RM4,000 berserta piala dan pingat.
Kaslo FC dan Megalodon Vet FC yang tewas pada peringkat separuh akhir masing-masing menerima RM2,000 berserta piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama kategori Veteran.
Dalam kategori individu, Denis Duya dari Megalodon Vet FC dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Veteran dengan enam gol, manakala penjaga gol Ex Force dipilih sebagai Pemain Terbaik.
Bagi kategori Senior, Zamri Raduan dari Pemuda Gedong muncul Penjaring Terbanyak dengan lapan gol, manakala rakan sepasukannya, Ummar Ar Haidar Yasim, dinobatkan sebagai Pemain Terbaik.
Kesemua penerima anugerah individu menerima wang tunai RM200.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ahli Parlimen P.200 Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.
Kejohanan edisi sulung itu menghimpunkan 32 pasukan, dengan masing-masing 16 pasukan berentap dalam kategori Senior dan Veteran, bermula 5 September lalu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.25 Simunjan, Awla Dris serta ketua-ketua agensi kerajaan dan ketua masyarakat setempat.



