KUCHING: Pasukan Sibu berjaya merangkul Piala Datuk Francis Harden 2025 apabila menumpaskan pasukan Miri 61-55 dalam perlawanan akhir.
Perlawanan yang diadakan di Stadium Mini Sri Aman menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing sengit untuk meraih mata.
Mempunyai kekuatan bahagian pertahanan memberikan kelebihan kepada pasukan juara apabila berjaya meraih tambahan mata pada minit-minit akhir perlawanan.
Manakala, bagi kategori wanita pula berjaya mempamerkan aksi dominan apabila menumpaskan Sarikei 44-24.
Pertahanan yang kuat, jaringan cekap, berjaya menghalang Sarikei daripada bangkit semula meraih sebarang mata.
Kemenangan kedua-dua kategori mengesahkan kekuatan pasukan Sibu dalam sukan terbabit.
Kejohanan yang berlangsung pada 30 Mac sehingga 2 April lepas menjadi platform untuk mengenalpasti bakat muda untuk mewakili Sarawak pada Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan di Pulau Pinang, Jun depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap ADUN Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, merasmikan majlis perasmian di Stadium Mini Majlis Daerah Sri Aman (MDSA).
Kejohanan turut disertai pasukan dari Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri, dan Sri Aman.
Bagi menyokong pembangunan bola keranjang, Francis, yang juga berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Bola Keranjang Bahagian Sri Aman, menyampaikan cek RM30,000 untuk membantu membiayai acara tersebut.

