KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menegaskan misi serampang dua mata menjadi fokus pasukannya tatkala turun berdepan Brunei DPMM FC dalam aksi pertama kempen Piala FA 2025 di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah malam esok (Sabtu).
Pasukan cuba untuk meraih kemenangan selain mahu memastikan lebihan defisit gol dapat diperoleh pada perlawanan tersebut.
Ia sebagai bekalan untuk aksi timbal balik yang akan berlangsung di Kuching selepas ini.
“Kemenangan menjadi fokus kita untuk perlawanan malam esok. Apa yang lebih penting ialah cuba memastikan lebihan gol dapat diperoleh sebagai bekalan aksi timbal balik di Kuching kelak,” ujar Aidil kepada Arena Suara Sarawak.
Aidil akui segalanya bukan mudah kerana menyedari pasukan tuan rumah mempunyai misi sama.
Ditambah dengan kelebihan kelab dari negara jiran itu yang beraksi di tempat sendiri sekali gus bakal mendapat sokongan padu penyokong setia mereka.
“Memang kita akui akan berdepan tekanan, tetapi jika pemain mampu mengekalkan momentum dan memperagakan aksi terbaik seperti kemenangan 4-0 ketika menentang Kelantan Real Warrior FC hujung minggu lalu, peluang ke arah itu pasti cerah,” tambah Aidil.
Sambil itu, beliau menyatakan barisan pemainnya cukup bersedia untuk mengharungi gelora sebenar daripada pendatang baharu itu.



