Piala Pengerusi Saberkas Daro 2019:  Badong FC mengganas

Skuad Badong FC muncul bergaya selepas membenamkan Lemang Pek FT sepanjang aksi pertama bagi memburu kedudukan yang lebih baik dalam Kejohanan Piala Pengerusi Saberkas Daro 2019, di Stadium Mini Daro, semalam.

Badong menang ke atas Lemang Pek dengan jaringan 2-0 hasil rembatan kencang Hasrol Dahlan dan Mohd Hamizan Senani masing-masing pada minit ke 49 dan 83.

Anak buah Haslimi Hassan itu sebenarnya mampu meraih lebih banyak jaringan namun mensia-siakan beberapa peluang keemasan di hadapan pintu gol lawan.

Malah dua sepakan nyaris mengegarkan gawang Lemang Pek namun agak malang apabila terkena tiang dan palang gol pada separuh masa pertama.

Lemang Pek melakukan beberapa percubaan berbahaya terutama pada awal perlawanan namun gagal menemui sepakan penyudah.

Secara keseluruhannya, kehadiran Lemang Pek dalam edisi kali ini tidak boleh dipandang mudah kerana mereka juga mempunyai strategi tersendiri selain dibarisi tunggak yang berpengalaman.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan ini gamat dengan kehadiran penyokong terutama dari Kampung Badong.

Sementara itu dalam perlawanan antara Pangtray dan Panchor, kedua -dua pasukan terikat 1-1.

Gol masing- masing disumbangkan Khuzaimie Abd Sani (Panchor) pada minit 14 dan Mohd Safudin Satar (Pangtray) minit ke 70.

Tunggak utama Badong FC

 

Pasukan mendapat suntikan kata semangat

 

Kehadiran penyokong mengamatkan suasana perlawanan.