Piala Pengerusi Saberkas Daro 2019 : Tebaang FT jinak Kampung Baru

Perlawanan pembuka tirai merebut kejuaraan Piala Pengerusi Saberkas Daro yang bermula semalam menyaksikan pertembungan sengit antara Tebaang FT dan Kampung Baru.

Bagaimanapun perlawanan itu berakhir dengan kemenangan Tebaang FT dengan 2-1 ke atas pasukan yang merupakan penyandang juara tahun lepas itu.

Gol-gol Tebaang FT disumbangkan Helmi Hamis dan Faizul Bakri masing-masing pada minit ke 12 dan 47 manakala Kampung Baru pula pada minit ke 63 hasil sepakan penaliti.

Secara keseluruhan perlawanan seimbang dan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk memburu gol.

Sehubungan itu, Pengurus Tebaang FT, Adykurniawan Abdullah melahirkan perasaan gembira dengan pencapaian anak buahnya.

Kedua-dua pasukan mengabadikan kenangan bersama Safiee dan Ahmad Johnie.

“Sebahagian besar pemain Tebaang FT terdiri daripada tunggak baharu. Aksi mereka dalam perlawanan sulung cukup baik namun masih perlu diperbaiki terutama di barisan serangan. Kami melakukan banyak percubaan namun gagal menemui sepakan penyudah,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Saberkas Daro, Mohd Faizal Jamiludin berkata, saingan pada musim ini dijangka lebih mencabar dengan kehadiran lebih ramai pemain muda dan tunggak yang berpengalaman.

Pasukan yang mengambil bahagian ialah Kampung Baru, Badong, Tebaang, Pangtray, Kampung Panchur, Kampung Itol, Nangar, Tengah, Lemang Pek dan Masbina.

“Kesemua pasukan sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan cabaran melalui beberapa siri latihan yang diadakan di tempat masing- masing. Semua pasukan mempunyai kekuatan dan kelebihan mereka sendiri,” katanya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad yang juga Setiausaha Agong Saberkas Sarawak. Hadir sama, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.

“Kejohanan ini sebahagian usaha kita untuk mengetengahkan bakat baharu dalam kalangan pemain muda tempatan. Ia merupakan inisiatif Saberkas menyatukan golongan belia melalui bola sepak,” katanya.

Pada edisi kali ini, juara bakal membawa pulang RM2,000, naib juara RM1,500 dan ketiga RM1,000.

Safiee bersalaman dengan pemain sambil memberikan kata semangat

 

Safiee dan Ahmad Johnie menyempurnakan acara sepak mula.