ASAJAYA: KBSB 1 kekal fokus untuk mempertahankan gelaran juara dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah Edisi Ke-58.
Presiden KBSB, Penghulu Jalek Jaafar memberitahu, misi utama mereka adalah untuk mempertahankan gelaran juara tersebut meskipun sedar perjalanan ke arah itu bukan suatu yang mudah.
“Saya percaya segalanya bukan mudah kerana pasukan lain yang turut serta kali ini pasti sudah mempersiapkan jentera masing-masing,” ujar Jalek kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau akui, mempertahankan kejuaraan satu tugas yang amat berat berbanding memburu kejuaraan.
Pun begitu kata Jalek, KBSB 1 yang dibarisi keseluruhan anak jati Kampung Sambir, Asajaya sudah siap siaga ke arah itu.
Dengan kata lain, KBSB 1 tidak rela gelaran berprestij yang melonjak reputasi mereka musim lalu terlepas begitu sahaja pada saingan kali ini.
Beliau memberi jaminan penampilan KBSB 1 pada musim ini kekal dibarisi pemain yang sama tahun lalu.
Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah Edisi Ke-58 2026 akan berlangsung di Kampung Sambir, Asajaya dan disingkap tirainya pada hari raya ketiga.

