KUCHING: Penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN N.15 Asajaya, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah Edisi Ke-58 bakal menampilkan kelainan pada tahun ini.
Rakan penaja strategik, Lea Sports Centre (LSC) mengumumkan penggunaan salah satu model bola rasmi yang akan digunakan dalam kempen Piala Dunia 2026 untuk kejohanan tersebut.
Penaung Kelab Bola Sepak Sambir Bistari (KBSB), Datuk Abdullah Julaihi berkata, pihaknya percaya setiap pasukan yang bertanding akan merasa lebih teruja dengan penggunaan bola berkualiti antarabangsa itu.
“Pihak kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada LSC atas komitmen yang diberikan bagi memastikan kemeriahan penganjuran edisi kali ini,” kata Abdullah ketika mengulas mengenai perkara tersebut.
Terdahulu, bola rasmi berkenaan diperkenalkan semasa Majlis Penyerahan Tajaan Piala Perpaduan ADUN N.15 Asajaya Edisi Ke-58 yang berlangsung baru-baru ini.
Kejohanan berprestij terbabit akan membuka tirainya pada hari raya ketiga sehingga 5 April depan dengan penyertaan sebanyak 50 pasukan daripada pelbagai kelab.
Juara bagi edisi kali ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 berserta piala pusingan, piala iringan, pingat, baucar barangan sukan tajaan LSC dan jersi perlawanan akhir.
Bagi naib juara, mereka akan menerima wang tunai RM5,000, piala iringan, pingat, baucar barangan sukan tajaan LSC serta jersi perlawanan akhir.
Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir pula akan menerima wang tunai RM3,000, piala, pingat serta baucar barangan sukan tajaan LSC selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Dalam pada itu, empat pasukan yang terkandas di peringkat suku akhir tidak pulang dengan tangan kosong apabila bakal menerima wang tunai RM500 dan piala.
TAMAT


