ASAJAYA: Sesi cabutan undi Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN N.15 Asajaya, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah Edisi Ke-58 dijadualkan berlangsung pada hari raya kedua.
Pengerusi Kejohanan, Penghulu Jalek Jaafar berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada semua pengurus pasukan yang terlibat.
“Kita sudah memaklumkan kepada semua pengurus bahawa sesi cabutan undi akan diadakan pada hari raya kedua bertempat di astaka padang bola sepak Kampung Sambir, Asajaya bermula jam 2:00 petang,” ujar Jalek kepada Arena Suara Sarawak hari ini.
Menurutnya, pasukan yang tidak dapat menghantar wakil bagi sesi berkenaan perlu memaklumkan perkara tersebut kepada pihak penganjur dengan lebih awal.
“Andaikata pasukan tidak dapat menghantar wakil, mereka boleh memaklumkan kepada Khaimi Dan di talian 010-7781934 atau Erwan Busenak di talian 010-9772093,” tambah Jalek.
Beliau menjelaskan bahawa setakat ini sebanyak 46 pasukan telah mengesahkan penyertaan dan jumlah itu dijangka terus meningkat memandangkan tarikh tutup pendaftaran adalah pada hari cabutan undi tersebut.
Kejohanan berprestij itu akan membuka tirainya pada hari raya ketiga sehingga 5 April depan dengan sasaran penglibatan sebanyak 50 pasukan.
Juara bagi edisi kali ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM7,000 berserta piala pusingan, piala iringan, pingat, baucar barangan sukan tajaan LSC dan jersi perlawanan akhir.
Bagi naib juara, mereka akan menerima wang tunai RM5,000, piala iringan, pingat, baucar barangan sukan tajaan LSC serta jersi perlawanan akhir.
Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir pula akan menerima wang tunai RM3,000, piala, pingat serta baucar barangan sukan tajaan LSC selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Dalam pada itu, empat pasukan yang terkandas di peringkat suku akhir turut bakal menerima wang tunai RM500 dan piala.
Hadiah sampingan turut disediakan bagi kategori pemain terbaik dan penjaring terbanyak kejohanan.

