ASAJAYA: Tarang FC memamerkan aksi mantap dan bertenaga pada hari ketiga Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN N.15 Asajaya, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah Edisi Ke-58 2026.
Finalis tahun lalu itu meraih kemenangan mudah apabila membelasah SK2 FC 10-0 dalam perlawanan yang berlangsung petang tadi.
Kemenangan tersebut sekali gus memberi amaran awal kepada pencabar lain mengenai keupayaan skuad yang diperkuat bintang berpengalaman daripada tiga pasukan Liga Premier Sarawak 2025/2026 iaitu Kuching, Samarahan dan Serian.
Sentuhan pemain berpengalaman, Mohd. Hadera Bakeri mencuri tumpuan apabila berjaya meledak empat gol.
Rakan sepasukannya, Iqmal Danial turut cemerlang dengan catatan hatrik manakala tiga lagi gol masing-masing dijaringkan oleh Paul Sambang, Zulfika Rosli dan Zulikhsan Salleh.
“Permulaan positif bagi kami dengan kemenangan bergaya yang diperoleh pemain.
“Saya berharap pemain dapat mengekalkan momentum cemerlang untuk saingan pusingan kedua yang akan berlangsung pada Jumaat,” ujar Pengurus Tarang FC, Ijau Lang kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau dalam pada itu memuji karakter hebat yang dipamerkan barisan pemain di sepanjang perlawanan tersebut.
Menurutnya, para pemain telah melaksanakan tugas dengan sempurna sepanjang tempoh permainan.
Sementara itu, beberapa perlawanan lain yang turut berlangsung menyaksikan kemenangan berpihak kepada pasukan pilihan.
PAMA FC B membelasah SA Family dengan jaringan 9-1 manakala S GYM menang tipis 1-0 ke atas KASITA FC. Dalam perlawanan lain, Kaslo FC menumpaskan Kasema FC 3-0 sementara Kamela FC mencatat kemenangan 1-0 ke atas Nerachi FC.




