BINTULU: Bintang sensasi pasukan PPFC, Mohd. Hazazi Harsi kekal unggul selaku pencetak gol terbanyak dalam kempen Piala Presiden BIFA edisi ketiga 2026.
Hazazi mengumpulkan tujuh gol selepas saingan minggu ketiga kejohanan berprestij itu.
Setiausaha Kehormat BIFA, Musabaqah Meliki memberitahu, pemain sensasi terbabit masih kekal mengungguli senarai selaku penjaring terbanyak.
“Perebutan anugerah selaku penjaring terbanyak masih lagi terbuka.
“Ia dijangka lebih sengit kerana kedudukan Hazazi Harsi dibayangi beberapa pesaingnya,” ujar Musabaqah kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, dua pesaing terdekat iaitu Ahnaf Ahmad dari pasukan Ensumbar FC dan Mohd. Morizad Morni (IPD Bintulu) yang masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan lima gol.
Seorang lagi pemain PPFC, Mohd. Haidal Yusuf di kedudukan keempat dengan empat gol.
Berbanding Samsu Alam Abdul Samad (PPFC) dan Reynold Oleh Uming (Kenyana OU FC) di kedudukan kelima dan keenam dengan tiga gol.
Sementara itu, lapan perlawanan dijadual berlangsung hujung minggu ini.
Empat perlawanan berlangsung pada Sabtu, empat lagi perlawanan akan berlangsung Ahad.

