BINTULU: Teka-teki pasukan manakah yang bakal bergelar juara Kejohanan Bola Sepak Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA) edisi ketiga 2026 bakal terjawab.
Dua kelab handalan, WFL FC dan Project Park FC akan turun beradu nasib pada perlawanan akhir di padang sintetik BDA pukul 3.30 petang esok (Sabtu).
Sukar untuk meramal pasukan yang lebih menyerlah pada edisi kali ini. Masing-masing mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri dari pelbagai aspek.

Presiden BIFA, Sophie Shariee mengakui, aksi final petang esok dijangka sengit dan penuh dramatik mengambil kira reputasi hebat dimiliki kedua-dua pasukan.
“WFL FC mahupun Project Park FC, masing-masing mempunyai kelebihan mencakupi segala aspek,” ujar Sophie kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Sophie, barisan pemain kedua-dua pasukan pastinya sudah siap sedia menghadapi gelora aksi final sebenar petang esok.
Terdahulu, Sophie menyeru penyokong kedua-dua pasukan serta peminat seluruh Bintulu hadir beramai-ramai untuk menyaksikan perlawanan akhir dan memberi sokongan kepada pemain pasukan masing-masing petang esok.
Pasukan yang berjaya merangkul gelaran juara akan menerima RM15,000 berbanding RM7,000 untuk naib juara.
Selain itu, RM3,000 masing-masing diterima dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir selaku pemenang tempat ketiga bersama.



