BINTULU: Minggu kedua saingan Kejohanan Bola Sepak Piala Pusingan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA) edisi ketiga 2026 dijangka terus sengit.
Esok, satu perlawanan berlangsung menyaksikan pertembungan dua kelab WFL FC dan PP Academy di Padang Sintetik BDA mewarnai majlis perasmian kejohanan terbabit.
Setiausaha Kehormat BIFA, Musabaqah Meliki memberitahu, majlis perasmian berlangsung esok jam 3.30 petang dan akan disempurnakan oleh Presiden BIFA, Sophie Shariee.
Katanya, empat lagi perlawanan berlangsung pada Ahad melibatkan kumpulan berbeza.
Empat perlawanan berlangsung Ahad iaitu Ensumbar FC menentang Putra Tigers di Padang Sintetik BDA, jam 2 petang, IPD Bintulu menentang Jepak di Padang KKB, jam 2 petang dan Bakosa FC menentang Project Park FC di Padang Sintetik BDA jam 4 petang.
Sementara itu, RA Rizqi FC akan menentang Sapor FC di Padang KKB jam 4 petang.

