BINTULU: Kejohanan Bola Sepak Piala Pusingan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA) Edisi Ke-3 2026 disingkap tirainya pada 4 April depan.
Sekali gus bakal menyaksikan pertembungan menarik 20 pasukan bagi memburu gelaran juara.
Setiausaha Kehormat BIFA, Musabaqah Meliki memberitahu kesemua pasukan terlibat mewakili pelbagai kelab handalan sekitar Bintulu.
Menurut Musabaqah, pasukan terbabit ialah PP Akademi, WFL FC, Lakin Kayau FC, IPD Bintulu, Kenyana OU, Umbaster FC, Putra Tigers UPMKB, Project Park FC, Ensumbar FC, RA Rizqi FC, M7, Badakus FT, Lua Warrior FC, Jepak, Bakoba FC, Ayash United, Sapor FC, Rasta FC, LKT FC dan WFL Youth FC.
“Format kejohanan dijalankan secara liga kumpulan. Pasukan bertanding dibahagikan kepada empat kumpulan.
“Dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak secara automatik ke suku akhir,” ujar Musabaqah kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau menegaskan sesi cabutan undi akan diadakan pada 29 Mac ini.
Sementara itu, Presiden BIFA, Haji Sophie Shariee menegaskan acara berprestij dan sering menjadi tumpuan peminat seluruh pelosok negeri Sarawak itu masih mengekalkan jumlah hadiah wang tunai keseluruhan RM28,000.
Menurut Sophie, pasukan yang berjaya bergelar juara akan menerima RM15,000 berbanding RM7,000 untuk naib juara.
Selain itu, RM3,000 masing-masing diterima dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir selaku pemenang tempat ketiga bersama.
“Kita masih mengekalkan hadiah wang tunai dengan jumlah sama seperti musim lepas iaitu kepada tiga kelompok pasukan terbaik iaitu juara, naib juara dan ketiga bersama,” ujar Sophie.
Menurut Sophie, kejohanan ini juga secara tidak langsung mampu memperlihatkan komitmen BIFA dalam memperkasakan pembangunan sukan bola sepak khususnya di Bintulu.
Beliau melihat penganjuran kejohanan itu bukan sahaja memberi peluang kepada pemain dari pasukan terlibat mengetengahkan bakat masing-masing.
Malah, usaha dilakukan BIFA dalam mengelolakan kejohanan itu pada dasarnya mampu melahirkan lebih ramai bakat baharu.
“Secara tidak langsung, ia dapat dijadikan penanda aras awal BIFA dalam menyediakan pemain untuk membentuk skuad bagi menghadapi Liga Premier Sarawak 2026,” menurut Sophie.






