KUCHING: Penganjuran Liga Bola Sepak SSC-FAS Bawah 20 Tahun, Piala Tun Pehin Sri Abdul Taib 2023 pentas terbaik mengenal pasti pemain muda berbakat.
Apatah lagi, konsesi Sarawak yang kini dalam proses membentuk pasukan untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menyifatkan, usaha bersama dua badan induk Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengelola kejohanan yang baharu lepas sebagai langkah yang amat tepat.
Menurut beliau, peluang tersebut secara tidak langsung digunakan dengan sebaiknya oleh jurulatih yang dipertanggungjawab membentuk pasukan memilih pemain terbaik untuk tujuan pembentukan pasukan.
“Seperti mana kita tahu, Sarawak akan menjadi tuan rumah temasya Sukma XXI 2024. Pada masa sama, perlu bagi kita menyediakan pasukan yang benar-benar mantap untuk menghadapi temasya itu kelak.
“Justeru, saya percaya ramai kudrat pemain terbaik yang terlibat dalam kejohanan itu mewakili pasukan masing-masing akan diberi mandat menyarung jersi Sarawak kelak,” ujar beliau ketika berucap pada perlawanan akhir Liga Bola Sepak SSC-FAS Bawah 20 Tahun, Piala Tun Pehin Sri Abdul Taib 2023 di Stadium Mukah.
Beliau menegaskan, pada masa sama pembentukan pasukan terbabit andaikata berupaya mencipta kejutan atau berupaya merangkul pingat dalam kejohanan dwitahunan negara itu kelak, mampu menjadi penanda aras terbaik untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di Sarawak.
“Besar harapan kita barisan pemain terbaik dari kejohanan ini akan dapat mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak Sarawak suatu masa kelak,” tambah Royston.



