MUKAH: Pasukan Serian melengkapkan senarai empat calon yang akan berentap ke separuh akhir Liga Bola Sepak SSC-FAS Bawah 20 Tahun, Piala Tun Pehin Sri Abdul Taib 2023 petang esok.
Jagoan terbilang kendalian Rockefiller Sullau menutup aksi ketiga menentang Sri Aman ‘B’ dengan keputusan seri (2-2) di Padang Mesra MDDM, Mukah petang tadi.

Bagaimanapun, skuad yang dibarisi ramai pemain berbakat itu cemas sepanjang saingan dengan asakan bertali arus pemain Sri Aman ‘B’.
Mendahului dengan kelebihan dua gol di awal babak pertama menerusi jaringan Rafziman Raduan minit ke-10 dan Azai Jasmi minit ke-25.
Sri Aman ‘B’ berjaya bangkit dengan menjaringkan dua gol menerusi jaringan Muhd. Amiruddin Roslan minit ke-65 dan Shazwandy Adam minit ke-90(+4).
Kedudukan itu kekal hingga ke wisel penamat, meskipun aksi dengan corak permainan pantas diperaga pemain Sri Aman ‘B’ untuk menambah koleksi jaringan bagi memenangi perlawanan tersebut.
“Lega dengan keputusan seri (2-2) diperoleh pemain pada perlawanan itu.
Ia sekali gus, melayakkan Serian mara ke separuh akhir,” ujar pengurus Serian, Mohd. Haiqal Abdullah ketika mengulas persembahan pemainnya
Menurut Haiqal, pemain diberi tentangan sengit oleh pasukan lawan sepanjang perlawanan namun berjaya mengatasi tekanan tersebut.
“Syabas dan tahniah kepada pemain kerana telah berjaya melaksanakan tugas dengan begitu sempurna sekali,” tegas Haiqal.
Petang esok, aksi separuh akhir Pusingan Akhir akah berlangsung menandakan bermulanya misi perburuan tiket ke pentas final melibatkan empat pasukan terbaik, Miri, Serian, Sarikei dan Kuching.
Dua gelanggang akan diguna pakai perlawanan petang esok.
Pertemuan Miri dan Kuching akan berlangsung di Stadium Mukah. Manakala, perlawanan antara Sarikei dan Serian bakal diadakan di Padang Mesra MDDM.



