ARTIKEL

Tiong menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Jepak Hulu.

Pili bomba gagal bekal air, Tiong mahu siasatan segera

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Isu pili bomba yang didakwa gagal membekalkan air ketika kebakaran di Kampung Jepak Hulu, Khamis lalu, perlu ditangani segera bagi memastikan kemudahan itu berfungsi ketika kecemasan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pemeriksaan menyeluruh terhadap rangkaian paip dan sistem bekalan air perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah serta mengelakkan kejadian sama berulang.

Menurutnya, terdapat dakwaan bahawa sebahagian pili bomba di kawasan itu masih disambungkan kepada paip lama meskipun paip air baharu sudah dipasang.

Perkara itu perlu disiasat bagi memastikan sambungan paip mematuhi spesifikasi ditetapkan dan bekalan air dapat disalurkan ketika diperlukan.

Sehubungan itu, Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu menggesa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bekerjasama dengan pihak berkuasa air untuk memeriksa secara fizikal pili bomba serta rangkaian bekalan air di kawasan berkenaan.

“Pemantauan projek infrastruktur tidak seharusnya bergantung semata-mata pada laporan atau dokumen pengesahan siap kerja, sebaliknya perlu disusuli pemeriksaan di lapangan bagi memastikan kemudahan yang disediakan benar-benar berfungsi,” katanya menerusi hantaran selepas menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Jepak Hulu, Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut menerima aduan penduduk di beberapa kawasan lain di Bintulu berhubung masalah air keruh dan tekanan air rendah.

Beliau menggesa pihak berkuasa air memeriksa kemudahan rawatan air dan rangkaian paip bagi mengenal pasti punca masalah serta mengambil tindakan pembetulan sewajarnya.

Tiong berkata bekalan air bersih yang stabil dan kemudahan kebombaan yang berfungsi dengan baik penting bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.

Berhubung kebajikan mangsa kebakaran, beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi Residen Bahagian Bintulu dan menyelaraskan tindakan dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bagi meneliti penyediaan tempat tinggal sementara kepada mangsa yang kehilangan kediaman.

Beliau turut membantu menyelaraskan khidmat kontraktor bagi mempercepat kerja pembaikan kediaman berhampiran yang mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, siling dan kaca akibat kebakaran.

Menurutnya, bantuan makanan dan barangan keperluan asas perlu disalurkan secara berterusan bagi memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara.

Tiong berharap kejadian itu menjadi peringatan kepada semua pihak berkaitan supaya memperkukuh pemantauan projek infrastruktur dan penyelenggaraan kemudahan awam bagi mengelakkan masalah sama berulang.

Dalam kejadian Khamis lalu, tiga rumah musnah dalam kebakaran yang menyebabkan 42 penghuni kehilangan tempat tinggal.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU