Pilih Politeknik kerana peluang pekerjaan

KUCHING: Keupayaan kekal sebagai peneraju Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkualiti di negara ini antara sebab pelajar memilih Politeknik Kuching untuk melanjutkan pengajian.

Buktinya, semalam 1,161 pelajar baharu mendaftarkan diri di Politeknik Kuching bagi ambilan Jun 2019.

Rata-rata pelajar yang ditemui Suara Sarawak menjelaskan, memperkasakan TVET sebagai aliran pendidikan arus perdana antara sebab mereka memilih Politeknik Kuching.

Dyanddy Windy, 20, berkata, lepasan Politeknik berpeluang mendapat pekerjaan kerana banyak syarikat kini melihat kepada kemahiran dan pengalaman dimiliki bakal pekerja.

“Ini antara sebab saya memilih Politeknik sebagai destinasi pendidikan saya,” jelasnya yang berasal dari Sabah.

Dia yang sebelum ini belajar dalam Kejuruteraan Awam di Kolej Komuniti di Kota Marudu berhasrat melanjutkan pelajaran peringkat diploma di Politeknik.

“Ini kali pertama saya berada di Sarawak. Saya bersyukur dapat menyambung pendidikan Diploma Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan, yang mana sebelum ini di Kolej Komuniti di Kota Marudu saya belajar dalam Kejuruteraan Awam,” jelasnya.

Sementara itu, Maheswary Rajandran, 18, dari Perak, yang juga pertama kali datang ke Sarawak memilih Diploma Pengajian Perniagaan.

“Sebelum sampai ke sini saya gementar dan teruja. Setelah beberapa hari di sini, saya dapat rasakan lebih tenang di sini dengan keadaan persekitaran yang sesuai dan tenang untuk belajar.

“Saya bersyukur dapat menyambung pelajaran di sini. Fokus saya seterusnya menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah dalam Pengajian Perniagaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, dia menasihatkan generasi muda yang minat bidang ekonomi dan perniagaan meneruskan niat itu kerana banyak industri menerima sijil dan kelayakan pelajar Politeknik.

Ho Chun You, 18, dari Kedah pula berkata, status Politeknik yang berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia selain penerimaan industri terhadap lepasan Politeknik menjadi punca dia memi- lik institut pendidikan itu.

Jelasnya, walaupun sebelum ini dia belajar jurusan seni, dia bertekad belajar bersungguh-sungguh dalam Diploma Kejuruteraan Proses (Petrokimia) kerana bercita-cita bekerja dengan Petronas.

“Pertama kali ke sini saya suka budaya di sini dengan kepelbagaian etnik. Mereka boleh berkumpul sama,” tambahnya.

Pelajar berasal dari Kuching, Syafawani Yeo, 18, sebab utama dia memilih Politeknik setelah mengenal pasti potensi tinggi peluang kerjaya apabila ramai rakannya mendapat pekerjaan.

“Sejak bersekolah di Sekolah Teknik Sejingkat saya mengambil jurusan Kejuruteraan Sivil. Kejayaan memasuki Politeknik ini membuka pintu peluang untuk saya menambah lagi kemahiran dan pengetahuan,” katanya.

Bagi Harry Janin, 20, berasal dari Sri Aman, Politeknik menjadi pilihannya kerana mampu menghasilkan graduan berkualti tinggi dalam pelbagai aspek.

“Banyak kelebihan akan saya peroleh di sini. Saya memang minat Kejuruteraan Proses (Petrokimia). Malah saya begitu meminati sains,” jelasnya.