BINTULU: Perlawanan persahabatan antara skuad Kuching City FC dan Pilihan Bintulu yang turut disaksikan hampir seribu penonton di Stadium Bintulu petang tadi berlangsung rancak.


Meskipun diketahui kesudahan perlawanan memihak kepada kem kendalian Aidil Sharin Sahak dengan kemenangan (7-0).
Namun, tempoh 90 minit perlawanan memperlihatkan skuad Pilihan Bintulu yang dikendali jurulatih berpengalaman, Farhan Abdullah berjaya memberi tentangan sengit.
Babak pertama Kuching City FC sebagai mana tiga perlawanan sebelumnya menurunkan pemain tempatan hanya berjaya menjaringkan dua gol.
Sebelum berjaya menambah lima lagi gol pada babak kedua apabila Aidil Sharin Sahak menurunkan beberapa bintang import.
Ia merupakan perlawanan keempat untuk siri jelajah pramusim Kuching City FC setakat ini.
Pasukan terbabit akan menentang skuad bawah 23 tahun negara Brunei Darussalam di Stadium Miri pada Ahad yang merupakan destinasi terakhir mereka.
Hadir sama menyaksikan perlawanan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming, ADUN Tellian Royston Valentine, Presiden BIFA, Haji Sophie Shariee, Ketua Pegawai Eksekutif Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan
Haji Sophie yang ditemui menzahir ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Kuching City FC kerana memilih Bintulu sebagai salah satu destinasi siri jelajah pramusim mereka tahun ini.
Sambil itu, beliau percaya perlawanan semalam pasti memberi satu pengalaman cukup berguna kepada pemain dalam menimba pengalaman.



