Ketetapan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam tadi, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang juga presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dalam kenyataan berhubung mesyuarat MPT itu berkata agenda utama Bersatu kini adalah menumpukan segala usaha serta tenaga bagi menangani pandemik COVID-19 dan memulihkan semula ekonomi negara.
“Tindakan beberapa pihak yang terus menerus melakukan percaturan politik dalam keadaan rakyat sedang melalui dugaan besar adalah sesuatu yang tidak tepat pada masanya,” katanya.
Wan Saiful berkata selain itu, Bersatu bertekad untuk terus mempertahankan kerjasama politik yang dipersetujui bersama parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) ke arah penyatuan ummah dan perpaduan rakyat.
“Dalam konteks PN, Bersatu akan terus memperkukuhkan kerjasama politik bersama parti-parti anggota Perikatan Nasional yang lain iaitu PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP),” katanya.
Wan Saiful berkata Bersatu juga menyeru supaya semua pihak menunjukkan keikhlasan dan menzahirkan kesungguhan melalui disiplin organisasi yang tinggi bagi memastikan kerjasama politik yang diwujudkan melalui PN dapat terus dihormati dan dipelihara.
Selain itu, mesyuarat juga bersetuju menganjurkan siri Jelajah Bersatu 2021 dalam masa terdekat untuk memberi penerangan berkenaan isu-isu semasa. — BERNAMA