KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan negeri mentransformasikan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) sebagai institusi korporat bertaraf dunia.
Menurut Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pindaan tersebut mencerminkan inisiatif kerajaan Sarawak untuk memperkukuh penambahbaikan institusi SEDC agar selari dengan amalan industri semasa dan landskap korporat moden yang semakin berkembang.
“Kerajaan negeri turut mendapatkan khidmat Bank Dunia pada 2022 bagi menjalankan kajian amalan tadbir urus korporat syarikat milik kerajaan negeri termasuk badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Hasil daripada kajian tersebut, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan Kod Tadbir Urus Korporat bagi Syarikat Milik Kerajaan Negeri Sarawak sebagai kerangka rasmi tadbir urus korporat,” katanya.
Uggah berkata demikian pada bacaan ketiga RUU Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 selepas dibahaskan oleh 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kod tersebut akan diguna pakai oleh semua syarikat milik kerajaan negeri di bawah bidang kuasa kerajaan Sarawak termasuk SEDC dan anak syarikatnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan sasaran besar untuk menjadikan SEDC sebagai antara syarikat milik kerajaan negeri terbaik di Sarawak.
“Aspirasi tersebut merangkumi pengukuhan tadbir urus, peningkatan ketelusan, keuntungan lebih mampan, hala tuju strategik yang jelas serta pendekatan pengurusan lebih berorientasikan komersial.
“Kerajaan negeri turut menekankan amalan dasar inklusif dalam pengurusan dan pembangunan SEDC bagi memastikan perbadanan itu terus berkembang secara progresif dan kompetitif.
“Kesemua langkah ini bertujuan meletakkan SEDC sebagai sebuah perbadanan bertaraf dunia,” ujarnya.
Beliau berkata, pindaan tersebut juga penting bagi memastikan institusi ekonomi milik kerajaan negeri terus relevan, responsif dan mampu memenuhi keperluan pembangunan ekonomi Sarawak yang semakin berkembang pesat.

