KUCHING: Penganugerahan pingat secara anumerta kepada mendiang suaminya menjadi penghormatan bermakna buat Stephanie Essah Incham, namun kehilangan itu tetap meninggalkan kesan mendalam ketika beliau meneruskan kehidupan bersama-sama anak tanpa kehadiran insan tersayang.
Bagi balu kepada mendiang Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit Henry itu, cabaran terbesar kini ialah meneruskan kehidupan serta memastikan kebajikan dan masa hadapan anak-anak terus terpelihara walaupun mereka terpaksa membesar tanpa kehadiran seorang bapa.
Stephanie merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas penganugerahan Pingat Pegawai Bintang Sarawak (PBS) secara anumerta kepada kelima-lima mangsa tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan mereka ketika menjalankan tugas.
Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghormatan bermakna buat mendiang suaminya bersama-sama empat lagi mangsa yang terkorban ketika berkhidmat kepada masyarakat.
“Tahniah, daddy dan pasukan; kami amat berbangga dengan kalian berlima, wira sebenar kami serta wira tidak didendang yang akhirnya menerima pengiktirafan,” tulisnya.
Penganugerahan itu diumumkan bersempena dengan sambutan ulang tahun kelahiran ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Dalam pada itu, Stephanie turut menzahirkan penghargaan atas bantuan pendidikan berjumlah RM100,000 yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak untuk anak-anak mangsa tragedi berkenaan.
Menurutnya, bantuan itu amat bermakna dalam membantu memenuhi keperluan pendidikan anak-anak, sekali gus memberikan sokongan kepada keluarga yang sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas kehilangan tonggak utama.
Bagaimanapun, beliau berharap agar perhatian terhadap kebajikan keluarga mangsa tidak terhenti setakat pemberian bantuan kewangan, sebaliknya diteruskan mengikut keperluan mereka khususnya dalam aspek pendidikan, sokongan emosi dan kebajikan jangka panjang.
Katanya, kehilangan seorang suami dan bapa membawa perubahan besar dalam kehidupan keluarga, justeru sokongan berterusan daripada kerajaan serta agensi berkaitan amat diperlukan bagi membantu mereka menghadapi cabaran mendatang.
Beliau turut berharap keluarga mangsa diberikan penjelasan terperinci mengenai bantuan dan faedah yang layak diterima, termasuk prosedur permohonan, dokumen yang diperlukan serta tempoh penyelesaian setiap urusan.
“Saluran komunikasi yang jelas antara keluarga mangsa dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi berkaitan amat penting bagi memastikan mereka memperoleh maklumat terkini mengenai perkembangan tuntutan dan bantuan yang tersedia,” katanya.
Beliau menambah bahawa komunikasi secara langsung dengan pihak bertanggungjawab dapat mengelakkan kekeliruan, selain membantu keluarga memahami proses yang sedang berjalan tanpa perlu berulang kali mendapatkan maklumat sendiri ketika masih berusaha mengharungi tempoh berduka.
“Tiada wang yang mampu membawa suami saya kembali, namun saya dan anak-anak masih perlu meneruskan kehidupan, mendapatkan pendidikan dan membina masa hadapan tanpa kehadiran seorang suami dan ayah,” jelasnya.
Stephanie berkata, beliau memahami bahawa urusan bantuan dan tuntutan memerlukan proses tertentu, namun berharap keluarga mangsa terus diberikan penerangan yang sewajarnya serta tidak dibiarkan menghadapi kesukaran mendapatkan maklumat berhubung hak mereka.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai, sahabat handai dan kenalan yang menghulurkan sumbangan, doa serta kata-kata semangat kepada keluarga mangsa sejak tragedi berkenaan berlaku.
Baginya, pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka yang terkorban perlu disertai keprihatinan berterusan terhadap keluarga yang ditinggalkan agar kebajikan mereka terus terbela, meskipun tragedi itu tidak lagi menjadi tumpuan umum.
Lima penerima berkenaan ialah mendiang Alexson Adit Henry, mendiang Debra Moset, mendiang Jessie Paya Jok, Almarhumah Dr Ainul Baraah Kamarudin dan Almarhum Zainol Afiq Bee Sham.
Pengurniaan pingat sempena sambutan hari lahir ke-80 Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi hari ini menjadi penghormatan terhadap sumbangan mereka, meskipun kelima-limanya tidak lagi berpeluang menerima sendiri pengiktirafan berkenaan.
Mereka terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, ketika menjalankan tugasan FDS yang membawa perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak pada bulan lepas.



