SARIKEI: Pintu gerbang baharu Pekan Julau bakal dinaik taraf bagi memperindah pintu masuk utama ke kawasan tersebut sekali gus meningkatkan imej serta daya tarikan pengunjung.
Bagi tujuan itu, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM350,000 bagi melaksanakan projek berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya pada Julai depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, pelaksanaan projek tersebut dianggarkan mengambil masa kira-kira enam bulan bermula dari tarikh kerja pembinaan dimulakan.
Menurut beliau, pintu gerbang baharu itu bukan sahaja berfungsi sebagai elemen landskap malah menjadi simbol perpaduan dan pembangunan Pekan Julau.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mempertingkatkan imej Pekan Julau serta menjadikannya lebih menarik kepada pengunjung dan pelancong yang melalui kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak projek naik taraf pintu gerbang Pekan Julau, hari ini.
Rolland menjelaskan, projek berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) dengan pelaksanaan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama sepenuhnya agar projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan siap mengikut jadual.
Tambahnya, selain meningkatkan tarikan pelancongan, naik taraf pintu gerbang itu juga diharap dapat memberikan keselesaan serta kemudahan kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya yang melalui kawasan Pekan Julau.



