KUCHING: Selepas mencuri perhatian menerusi telefilem Pitenah, Smangko Production kembali dengan kesinambungan naskhah itu menerusi Pitenah 2: Kemelut Margasatwa yang sarat dengan konflik, misteri, dendam dan kifarah.
Arahan Gizri Azif, telefilem itu membawa penonton menyelami kisah Kampung Margasatwa, sebuah perkampungan terpencil yang pada awalnya hidup tenang sebelum diganggu pelbagai kejadian aneh, termasuk gangguan mistik dan penyakit misteri.

Keadaan bertambah tegang apabila berlaku perebutan kuasa untuk memimpin kampung berkenaan, sekali gus membuka kembali kisah silam yang selama ini cuba disembunyikan.
Menurut Gizri, karya itu mengangkat unsur misteri dan seram yang diselitkan dengan mesej moral mengenai akibat perbuatan manusia, khususnya hasad dengki, dendam dan keengganan untuk memaafkan.

“Kami mempertaruhkan 100 peratus usaha, tenaga dan kreativiti anak tempatan dalam menghasilkan karya ini, daripada garapan skrip, pembangunan watak, sinematografi hinggalah proses pascaproduksi,” katanya kepada Suara Sarawak.
Kekuatan telefilem itu turut terletak pada konflik setiap watak yang mempunyai latar belakang dan rahsia tersendiri, termasuk Mael sebagai pemimpin baharu, Roslan yang dibelenggu dendam masa lalu, Pak Amit yang menyimpan rahsia serta Dillah yang berdepan kehilangan.

Kemunculan Yati, watak misteri yang penuh teka-teki, turut menambah persoalan dan konflik dalam jalan cerita, dengan setiap watak dibangunkan menerusi elemen emosi bagi memastikan cerita kekal menarik sehingga penghujung.
Gizri berharap Pitenah 2 mendapat sambutan penonton, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada bakat seni tempatan, termasuk mereka yang bekerja di hadapan dan di belakang tabir, untuk berkembang dalam industri kreatif.

Pitenah 2: Kemelut Margasatwa bakal ditayangkan menerusi saluran YouTube Smangko TV pada 2 Oktober ini. Perkembangan terkini, termasuk trailer dan kandungan di sebalik tabir, boleh diikuti menerusi media sosial rasmi Smangko Production.





