PKP: Terus kompaun, tiada lagi nasihat

SIBU: Bermula hari ini, orang ramai dan pemilik premis perniagaan yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun RM1,000.
Perkara ini didedahkan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Sibu DSP Ariffin Bahar ketika ditemui semasa  melakukan pemantauan pematuhan hari kedua SOP PKP di Terminal Bas Ekspres Sibu, Jalan Pahlawan di sini pada Ahad.
“Ya. Mulai esok PDRM tidak berkompromi dengan mana-mana individu atau pemilik premis perniagaan untuk mengenakan denda ataupun kompaun kepada mereka yang masih degil pada hari ketiga pelaksanaan PKP.
“Dua hari pertama ini iaitu bermula semalam dan hari ini (Ahad) kami hanya memberi nasihat sahaja. Esok tiada lagi nasihat,” tegas Ariffin.
Beliau menjelaskan denda atau kompaun itu adalah di bawah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) Peraturan 2020 yang membolehkan polis mendenda pesalah sebanyak RM1,000.
Beliau berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan yang ketat dalam usaha mahu orang ramai mematuhi SOP. “Kami melakukan semua ini agar masyarakat memahami sepenuhnya dan kesedaran tinggi untuk mematuhi SOP,” katanya.
Bercakap mengenai pemantauan di terminal bas tersebut, beliau mengatakan perkara yang diperiksa adalah keperluan syarikat bas mematuhi garis panduan SOP termasuk memiliki permit operasi seperti yang diperlukan di bawah PKP 2.0 dan penjarakan fizikal dan hanya 50 peratus tempat duduk dapat dipenuhi.
“Sekiranya terdapat 100 tempat duduk di dalam bas, hanya 50 tempat duduk yang dibenarkan. Ini untuk memudahkan penjarakan fizikal dipraktikkan di dalam kenderaan awam,” katanya.
Pemeriksaan ini juga ujarnya, untuk memeriksa sama ada penumpang mempunyai permit perjalanan rentas daerah yang dikeluarkan oleh PDRM.
“Kami menempatkan satu pasukan yang merangkumi tiga hingga empat anggota polis dan anggota JPJ di sini untuk melakukan pemeriksaan setiap hari,” jelas Ariffin.
Sementara itu, operasi itu melibatkan 15 anggota polis dan lalu lintas termasuk pegawai tiga JPJ. Bahagian Sibu yang meliputi daerah Sibu, Selangau dan Kanowit kini sedang dalam tempoh PKP selama dua minggu bermula 16 hingga 29 Januari ini berikutan lonjakan kes Covid-19 melalui Kluster Pasai.