PKPD di Penjara Sri Aman dan kuarters kakitangan ditamatkan hari ini

KUCHING: Daerah Song telah bertukar ke status merah daripada jingga setelah merekodkan 53 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lalu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ini menjadikan jumlah daerah berstatus merah meningkat kepada 22 daerah dan daerah berstatus jingga telah menurun kepada tiga buah.

“Sementara itu, 11 lagi daerah kekal berstatus kuning dan empat kekal berstatus hijau,” katanya.

Dalam pada itu, JPBN membuat keputusan untuk menamatkan tempoh Perintah Kawalan Pegerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Sri Aman dan kuarters kakitangan hari ini.

“Ini kerana keputusan saringan kedua tidak mendapati sebarang kes positif yang baharu.

“Di samping itu juga tiada bukti yang menunjukkan jangkitan masih menular di kawasan tersebut,” jelasnya.

“Malah, JPBN turut mengambil keputusan untuk menamatkan tempoh PKPD Kampung Menuang Baru, Limbang atas alasan yang sama esok,” ujarnya.

Suara Sarawak