KUCHING: Politeknik Kuching Sarawak (PKS) mengakui keadaan asrama yang kurang memuaskan seperti yang tular di media sosial semasa pendaftaran pelajar baharu, baru-baru ini.
Sehubungan itu, PKS dalam kenyataan hari ini memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pelajar dan memaklumkan bahawa pihaknya mengambil serius isu berkenaan serta komited memperkukuh pengurusan asrama bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan pelajar sentiasa diutamakan.
“Politeknik Kuching Sarawak mengambil maklum dan prihatin serta memohon maaf terhadap kesulitan yang dihadapi oleh para pelajar susulan daripada keadaan asrama yang kurang memuaskan seperti yang dibangkitkan menerusi media sosial semasa pendaftaran pelajar baharu, baru-baru ini,” katanya.
Bagi menangani isu berkenaan, pihak pengurusan PKS telah melaksanakan beberapa tindakan segera termasuk mengoptimumkan penggunaan ruang dan kemudahan sedia ada di asrama.
Selain itu, penyediaan kelengkapan asrama tambahan sedang dibuat secara berperingkat, di samping pelaksanaan kerja penyelenggaraan, pembaikan serta penggantian perabot mengikut keperluan.
Dalam pada itu, PKS memberitahu bahawa bagi Sesi I Akademik 2026/2027, pihaknya berjaya menyediakan kemudahan penginapan kepada 1,600 pelajar atau 96.2 peratus daripada keseluruhan 1,663 pelajar baharu.
“Penempatan ini mencerminkan keutamaan yang diberikan PKS terhadap kebajikan serta keperluan penginapan khususnya kepada pelajar baharu,” menurut kenyataan itu lagi.
PKS turut memaklumkan bahawa perolehan aset baharu sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti kemudahan yang disediakan kepada pelajar.
Menurut kenyataan itu, kapasiti semasa asrama PKS hanya mampu menampung kira-kira 50 peratus daripada jumlah keseluruhan enrolmen pelajar.
Justeru, usaha memperluas kapasiti asrama akan terus diperkasakan selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mencapai kadar penyediaan kemudahan asrama sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah enrolmen pelajar prasiswazah sepenuh masa secara fizikal menjelang 2035.
Sementara itu, PKS menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh mekanisme pemantauan dan pengurusan asrama bagi memastikan kemudahan yang disediakan berada pada tahap terbaik serta memenuhi keperluan semasa.
“Kita menghargai segala maklum balas daripada pelajar, ibu bapa dan pihak berkepentingan sebagai usaha menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh kecemerlangan pendidikan tinggi negara,” katanya.



