KUCHING: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan digesa untuk menerima inovasi dan mengguna pakai teknologi bagi merebut peluang di luar zon selesa, sekali gus melepasi pasaran antarabangsa.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, dengan menerokai pasaran antarabangsa, mereka bukan sahaja berjaya mengukuhkan perniagaan malah memartabatkan produk-produk dari Sarawak.
“Dalam landskap global hari ini yang serba mencabar, PKS mesti terus mengukuhkan kapasiti dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif di peringkat antarabangsa.
“Pendekatan ini sekali gus menunjukkan potensi dan daya tahan para usahawan Sarawak bersaing serta merebut peluang di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Leaves Food Industries Sdn Bhd dan Hornbill Agriculture Sdn Bhd di sini, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, kerajaan negeri amat menyokong serta menggalakkan langkah transformatif para PKS dalam mengemas kini model perniagaan dan mengguna pakai teknologi termaju.
“Justeru, inisiatif syarikat seperti Leaves Food Industries Sdn Bhd dan Hornbill Agriculture Sdn merupakan contoh inovasi yang harus dicontohi ramai, terutama dalam pengeluaran, pemasaran, perolehan dan pengurusan kewangan.
“Tahniah atas usaha berterusan anda dalam program promosi “Taste of Sarawak”. Saya yakin masyarakat tempatan dan antarabangsa menikmati kepelbagaian rangkaian produk Sarawak yang anda ketengahkan.
“Langkah yang memacu perubahan positif berkenaan dalam masa yang sama menonjolkan status negeri ini sebagai destinasi luar biasa untuk acara dan pelancongan,” ujarnya.
Mengenai MoU tersebut, beliau berkata ia menandakan komitmen tidak berbelah bahagi PKS terhadap pertumbuhan dan kemampanan, di samping mempamerkan potensi besar perusahaan tempatan untuk berkembang maju di peringkat global.
“Kerjasama ini mewakili kemuncak inovasi yang bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi petani tempatan dengan meningkatkan produk buah kalamansi

“Ia juga menggariskan komitmen usaha kolektif untuk memupuk persekitaran perniagaan yang kondusif, holistik, memodenkannya sektor pertanian tempatan serta ke arah pembangunan mampan dan kemakmuran ekonomi di Sarawak,” jelasnya.
Hadir sama, Presiden Persatuan PKS Sarawak, Jordan Ong; Ketua Pegawai Eksekutif Leaves Food Industries, Alan Chai dan Pengasas dan Pengarah Urusan Hornbill Agriculture Sdn Bhd, Alan Wei.
KAPSYEN: Datuk Wee Hong Seng menyaksikan pertukaran MOU antara Leaves Food Industries Sdn Bhd dan Hornbill Agriculture Sdn Bhd di sini, hari ini.


