KUALA LUMPUR: ‘Dashboard’ Status Pelaksanaan Perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), telah dilancarkan hari ini di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia.
Pelancaran platform berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif itu amat penting dalam memperkukuh pemantauan pelaksanaan MA63 secara lebih tersusun, telus dan bersepadu.
“Ini sekali gus meningkatkan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya, hari ini.
Justeru beliau berharap platform dashboard ini dapat membantu mempercepat pelaksanaan keputusan serta memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.



