KUCHING: Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) berbangga kerana menjadi juara keseluruhan buat pertama kalinya dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI.
Presiden PMNS Haji Jumaat Ibrahim berkata, pencapaian itu merupakan kenangan manis sepanjang pengorbanan penubuhan persatuan sejak 10 tahun yang lalu.
“Untuk kali ini, skuad Muay Thai di Sarawak mencipta sejarah yang amat membanggakan.
“Kita memenangi 10 gelaran iaitu lima emas, empat perak dan satu gangsa.
“Ini satu pencapaian yang luar biasa setelah lebih 10 tahun bertungkus lumus, kami mencapai matlamat untuk menjadi juara Muay Thai SUKMA atas permintaan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Menurutnya, kejayaan ini juga selaras dengan impian Abang Johari untuk menjadikan Sarawak sebagai Pusat Kuasa Sukan.



