KUCHING: Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) menyambut baik ketetapan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk hanya menyokong dan menaja atlet yang menyertai kejohanan muaythai yang diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Menyifatkannya sebagai langkah tepat, Presiden PMNS Jumaat Ibrahim berkata, ketetapan ini akan merancakkan lagi usaha pihaknya dan persatuan negeri lain untuk mengangkat mutu sukan tempur itu ke satu tahap yang lebih baik.
Tegas Jumaat, ia akan membantu melahirkan lebih ramai atlet baharu daripada kejohanan-kejohanan yang diiktiraf oleh Persekutuan Antarabangsa Persatuan Muaythai (IFMA).
“Pihak PMNS selaku badan yang diamanahkan oleh kerajaan dalam mempromosikan sukan muaythai di Sarawak sentiasa akur dengan tatacara serta garis panduan yang ditetapkan oleh Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) yang diiktiraf oleh Persekutuan Antarabangsa Persatuan Muaythai atau IFMA dan KBS.
“Pada masa yang sama, pihak PMNS berpesan kepada semua kelab muaythai di bawah naungan PMNS untuk sentiasa akur terhadap garis panduan yang telah ditetapkan oleh PMM dan memastikan semua kejohanan yang mereka sertai adalah yang diiktiraf oleh KBS, IFMA dan PMM,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Jumaat berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli semasa Sidang Dewan Rakyat pada Isnin lalu yang menetapkan KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak akan menaja mana-mana atlet yang bertanding dalam sebarang kejohanan yang tidak diiktiraf oleh IOC.
Tambah beliau, penyertaan dalam kejohanan yang diiktiraf oleh IOC akan memberi manfaat kepada atlet yang bertanding atas beberapa faktor, antaranya ia akan membuka peluang kepada atlet muda untuk pergi lebih jauh dalam karier mereka.
Selain itu katanya, penganjuran yang diiktiraf akan lebih selamat dan tersusun kerana ia dikendalikan oleh mereka yang telah diperakui kemahiran dan kepakaran mereka.
“Pihak PMNS sekali lagi menegaskan hanya akan menyertai kejohanan yang diiktiraf oleh IFMA kerana ia adalah ketetapan oleh KBS.
“Justeru, kepada atlet-atlet muaythai di luar sana khususnya yang berhasrat untuk pergi lebih jauh, jangan ambil jalan singkat. Sertailah kejohanan yang diiktiraf oleh IOC untuk kebaikan diri sendiri,” tambah Jumaat.
Beliau dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada pihak KBS kerana sentiasa menyokong PMNS dengan menyuntik dana untuk penganjuran kejohanan bertaraf kebangsaan mahupun antarabangsa.
Tegasnya, selain menjadi platform penting dalam melahirkan atlet baharu untuk meneruskan legasi kecemerlangan negara dalam sukan muaythai, penganjuran kejohanan juga sangat penting untuk merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.
Di peringkat kebangsaan katanya, KBS juga aktif menyokong program pendedahan anjuran Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) menerusi penyaluran peruntukan secara berterusan.

