MUKAH: Program Jom Sembang Minda: Sihat Emosi, Hebat Peribadi anjuran Unit Pengurusan Psikologi Politeknik Mukah (PMU) berjaya memberi pendedahan menyeluruh berkaitan kesihatan mental serta teknik pengurusan emosi kepada warga institusi berkenaan.
Program itu menampilkan Pakar Psikiatri Hospital Sibu, Dr. John Chieng yang berkongsi ilmu berkaitan perbezaan antara stres, ’burnout’ dan kemurungan selain menjelaskan faktor penyumbang serta kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental dan fizikal.
Ketua Unit Pengurusan Psikologi PMU, Tang See Lik berkata, program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran warga kampus mengenai kepentingan penjagaan kesihatan emosi dalam kehidupan harian dan persekitaran kerja.

“Melalui program ini, peserta bukan sahaja memperoleh ilmu, malah turut didedahkan dengan teknik praktikal yang boleh diamalkan bagi mengurus tekanan secara sihat,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut, semalam.
Dr. John Chieng berkata, kesedaran terhadap kesihatan mental perlu diperkukuh dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam persekitaran institusi pendidikan dan tempat kerja yang semakin mencabar.
Beliau turut menekankan kepentingan sifat belas ihsan terhadap diri sendiri (self-compassion) serta langkah mendapatkan bantuan melalui saluran sokongan dan platform kesihatan mental yang disediakan.
Salah seorang peserta, Nur Iqmal Firdaus Dainis berkata, program tersebut memberi manfaat besar serta membuka kesedaran baharu mengenai pengurusan emosi.
“Saya kini lebih memahami perbezaan antara stres, ‘burnout’ dan kemurungan serta cara mengawal tekanan melalui teknik yang mudah diamalkan,” katanya.
Selain sesi ceramah, program turut diserikan dengan bengkel praktikal yang dikendalikan oleh Pegawai Psikologi Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Mukah, Rene Alana Stephen yang memberi tumpuan kepada teknik relaksasi mudah seperti latihan pernafasan, relaksasi otot dan teknik ‘lemon squeeze’.
Teknik-teknik berkenaan mendapat perhatian peserta kerana dianggap mudah dipraktikkan dalam kehidupan seharian, khususnya bagi mengurus tekanan kerja dan emosi secara lebih berkesan.
Justeru, program berkenaan diharap dapat melahirkan warga kerja yang lebih peka terhadap kesejahteraan mental sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat, seimbang dan positif.




