MUKAH: Projek COCOCOMP: From Waste to Wonder, hasil inovasi pelajar Politeknik Mukah (PMU), mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Pemenang Projek Pelajar Terbaik serta Projek Akhir Pelajar Berimpak Tinggi (PAPBT) dalam Commerce Research Innovation & Technology Exhibition (CTEX) Sesi I 2025/2026.
Projek COCOCOMP dibangunkan oleh pelajar Jabatan Perdagangan yang terdiri daripada Jessie Ngelambai, Nurul Batrisya Rajman, Nurul Syafiqah Sulaiman dan Putri Triana Hasbi dengan bimbingan penyelia utama, Izan Fahmee Nordin serta penyelia bersama, Lydia Aling.

Projek ini menonjol dengan idea inovatif berasaskan sabut kelapa, iaitu bahan sisa pertanian yang diolah menjadi bahan biokomposit mesra alam.
Melalui penggunaan resin semula jadi seperti kanji, kumpulan ini berjaya menghasilkan produk yang ringan, tahan dan lestari sekali gus membuktikan potensi sisa pertanian sebagai sumber bahan baharu yang bernilai tinggi dan menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 12 dan SDG 13.
Sementara itu, Pengarah PMU, Suhaili Aleh, menegaskan bahawa CTEX bukan sekadar pertandingan, tetapi satu wadah penting untuk melahirkan pelajar yang berfikiran inovatif, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta kemajuan industri.
“Ia membuka ruang kepada pelajar untuk meneroka idea baharu dan menzahirkan kreativiti mereka dalam bentuk penyelesaian yang praktikal dan lestari.
“Ini membuktikan bahawa PMU terus komited melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir, tetapi juga memiliki nilai etika, tanggungjawab sosial dan semangat Malaysia MADANI,” katanya dalam majlis perasmian tersebut.
Sehubungan itu, sebanyak 15 projek dianugerahkan Pencapaian Emas dan 11 projek menerima Anugerah Pencapaian Perak, dengan penyertaan pelbagai idea bernas daripada pelajar Jabatan Perdagangan.
Antara pemenangnya ialah ECO-X, SAND-OFF BAG dan FLEX4TROLLY yang turut menyerlah dalam pelbagai kategori seperti Reruai Pameran Terbaik dan Video Projek Terbaik.
Terdahulu, Program CTEX Sesi I 2025/2026 merupakan anjuran bersama Jabatan Perdagangan (JP) dan Unit Penyelidikan, Inovasi dan Komersialisasi (UPIK) Politeknik Mukah (PMU).
Bertemakan “Empowering Innovation Towards Sustainable Commerce”, CTEX menjadi platform utama bagi pelajar mempamerkan hasil penyelidikan dan projek inovasi berasaskan perniagaan yang kreatif serta berpotensi dikomersialkan.
Penganjurannya turut mencerminkan komitmen Jabatan Perdagangan dan UPIK PMU dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pelajar.
Usaha ini sejajar dengan aspirasi PMU untuk melahirkan graduan holistik yang berpengetahuan, berkemahiran dan beretika serta mampu mencetuskan solusi mampan demi kemajuan masyarakat dan negara.






