MIRI: Pustaka Negeri Sarawak (PNS) Miri mempelawa orang ramai menghadiri sesi ilmiah Ceramah Sarawakiana bertajuk “Cerita Rakyat: Nilai Moral dan Pengajaran Tersembunyi” yang dijadualkan berlangsung pada Rabu, 15 April depan.
Menurut kenyataan media PNS, program tersebut akan bermula jam 2.00 petang hingga 5.00 petang bertempat di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, Miri.
Ceramah tersebut akan disampaikan oleh pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Patricia Ganing yang bakal mengupas peranan cerita rakyat sebagai medium penyampaian nilai serta pengajaran tersirat.
Beliau juga akan membincangkan kepentingan warisan naratif dalam membentuk identiti masyarakat selain memastikan kelestariannya mendepani arus globalisasi.
Pegawai PNS Miri, Davidsal Jimmy Berayen berkata, penganjuran program itu membuktikan komitmen pihak pustaka dalam memastikan warisan tradisional kekal relevan dalam era moden serta berfungsi sebagai pusat ilmu yang menyokong pembangunan komuniti berpengetahuan.
“Program ini bukan sahaja bertujuan mengetengahkan nilai moral yang terkandung dalam cerita rakyat, malah berperanan memperkukuh jati diri serta identiti masyarakat.
“Selain itu, ia turut menjadi platform perkongsian ilmu yang menggalakkan pemikiran kritis serta memupuk minat terhadap pembacaan dan kesusasteraan,” katanya.
Orang ramai yang berminat dialu-alukan hadir dan boleh mendaftar dengan mengimbas kod QR pada poster promosi atau melalui pautan https://forms.gle/1RrNGN6SjSEqxAgx6.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Ahmad Samsudin, Davidsal Jimmy Berayen atau Mohd. Nizam Abd Takip di talian 085-422 525 atau layari laman sesawang serta platform media sosial rasmi Pustaka Negeri Sarawak.

