KUCHING: Polis Daerah Bau telah memperkukuh kerjasama strategik bersama Sarawak Energy Berhad dan Telekom Malaysia bagi membendung kegiatan kecurian kabel di daerah tersebut.
Menurut TVS Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman menyatakan bahawa mesyuarat bersama pihak utiliti yang dipengerusikannya baru-baru ini memberi fokus kepada langkah pencegahan serta pengesanan kegiatan jenayah berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa pihak terbabit bersetuju untuk berkongsi maklumat dan rakaman kamera litar tertutup bagi membantu siasatan serta mengesan suspek yang terlibat.
Selain mempertingkatkan rondaan di kawasan pencawang dan lokasi berisiko, pihak berkuasa turut merancang untuk menambah pemasangan kamera litar tertutup bagi memudahkan tindakan penguatkuasaan.
Mohd Haide menambah bahawa kempen kesedaran awam akan diperluas bagi menggalakkan masyarakat menyalurkan maklumat, selain mempertimbangkan pemberian penghargaan kepada pemberi maklumat yang membantu kejayaan tangkapan suspek bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi.




